AntarabangsaIsu Semasa

Donald Trump Wujudkan “Krisis” Yang Tidak Wujud

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah ‘berjaya’ mewujudkan krisis yang sebenarnya tidak pernah wujud pun sebelum ini.

Menurut wartawan terkemuka CNN Fareed Zakaria menerusi artikelnya berjudul “How To Create a Crisis,” antara krisis yang dicipta dan diperbesarkan sendiri oleh Trump adalah isu pendatang haram ke AS.

Fareed berkata, jumlah pendatang haram yang datang ke AS telah menurun selama sedekad. Jumlah individu yang cuba seludup masuk di sempadan selatan negara itu juga mencatatkan penurunan selama hampir 20 tahun dan lebih rendah berbanding tahun 1973.

Malah pada hakikatnya, jumlah individu yang datang ke AS secara sah dan kemudian menetap di sana melebihi tempoh visa mereka adalah lebih tinggi berbanding pendatang yang cuba memasuki sempadan selatan secara haram.

“Lebih 52 juta warga asing telah memasuki AS secara sah pada 2017. Daripada jumlah itu, 98.7% pulang semula ke negara asal mereka mengikut tempoh visa.

“Namun, sebahagian besar daripada jumlah itu hanya pulang selepas visa mereka sudah lama tamat tempoh,” katanya.

Bercakap tentang isu terorisme pula, Trump telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membendung keganasan, di mana pendatang-pendatang asing dilihat sebagai suspek utama.

Namun, berdasarkan kajian Cato Institute, tiada seorang pun individu di AS yang terbunuh atau tercedera akibat serangan keganasan yang dilakukan oleh pendatang haram daripada tahun 1975 sehingga 2017.

Tetapi, kuasa yang ada pada seorang presiden membolehkan Trump untuk memperbesarkan isu-isu tersebut, menutup kerajaan, memaksa rangkaian televisyen menyiarkan maklumat salah, menakut-nakutkan orang awam menerusi ‘kenyataan rasmi’ kerajaan, dan mungkin juga menggunakan kuasa presiden untuk mengisytiharkan darurat.

Apabila kerajaan AS mewujudkan kecemasan dan krisis sedemikian sebelum-sebelum ini, ia pada kebiasaannya bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat, meluaskan kuasa presiden, dan ‘menutup mulut’ pembangkang.

Daripada kelulusan Alien and Sedition Acts sehinggalah amaran mengenai senjata pemusnah milik Saddam Hussein, Fareed berkata bahawa Amerika telah mengharungi tempoh-tempoh “paranoia dan kebodohan.”

Akta-akta ‘Alien and Sedition’ mempunyai empat undang-undang di bawahnya yang telah diluluskan oleh Kongres AS kelima dan kemudian ditandatangani oleh Presiden John Adams pada tahun 1798.

Undang-undang ini menyukarkan lagi pendatang asing untuk menjadi warganegara AS, memberi kuasa kepada presiden untuk memenjarakan dan menghantar pulang warga asing yang dianggap berbahaya atau datang dari negara musuh, serta menjadikan tindakan membuat kenyataan palsu yang mengkritik kerajaan persekutuan sebagai kesalahan jenayah. 

“Jika kita lihat kembali, kita akan menyedari bahawa masalah-masalah tersebut tidak begitu serius, musuh tidak begitu kuat, dan AS sebenarnya jauh lebih selamat,” kata Fareed.

Walau bagaimanapun, kuasa presiden terus menjadi semakin luas. Budaya media moden juga memudahkan presiden untuk menetapkan/mengaturkan agenda, memandangkan Rumah Putih adalah titik tumpuan dan kini menerima perhatian yang semakin banyak.

“Trump telah berjaya menggunakan kelebihan ini dan menjadikan berita yang baik kepada buruk, keselamatan kepada perkara berbahaya, dan dengan sendirinya mewujudkan krisis negara yang tidak wujud pun pada asalnya,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button