AntarabangsaIsu Semasa

Selain Islam, Agama Kristian Turut Jadi “Mangsa Penindasan” Di China

Presiden China, Xi Jinping merupakan pemimpin negara itu yang paling berkuasa sejak Mao Zedong.

Walaupun kerajaan China menyatakan bahawa ia “melindungi agama dan budaya golongan minoriti,” realitinya amat bercanggah dengan kenyataan itu.

Kebebasan beragama dikatakan semakin disekat di bawah pemerintahan Xi.

Difahamkan, beberapa bahagian di China telah mengharamkan pengamalan agama Islam dan penganut-penganutnya yang menunaikan ibadah solat, berpuasa, menyimpan janggut atau memakai hijab menghadapi ancaman ditangkap oleh pihak berkuasa.

China juga dilaporkan menubuhkan kem-kem tahanan yang menempatkan lebih daripada satu juta etnik Islam Uighur untuk menghapuskan kepercayaan mereka terhadap agama, membentuk semula identiti, serta mengubah pemikiran politik mereka.

Bukan itu sahaja, malah baru-baru ini juga, China telah meluluskan satu undang-undang baru yang bertujuan untuk mengubah cara Islam diamalkan di negara itu selain daripada mahu menjadikan agama tersebut lebih sesuai dengan sosialisme.

TETAPI, ISLAM BUKAN SATU-SATUNYA AGAMA YANG DITINDAS….

Selain daripada Islam, agama Kristian turut menjadi “mangsa penindasan” kerajaan China.

Pada Disember lepas, salah sebuah gereja ‘bawah tanah’ yang popular China Early Rain Covenant telah ditutup oleh pihak berkuasa.

Pihak polis turut menahan pastor gereja tersebut, Wang Yi, isterinya, Jiang Rong, serta lebih daripada 100 anggota gereja, manakala mereka yang tidak ditangkap pula sedang menyembunyikan diri.

Lebih membimbangkan lagi, Wang dan Jiang didakwa melakukan “menggugat institusi negara”, di mana kesalahan jenayah itu membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.

EARLY RAIN BUKAN GEREJA PERTAMA MENJADI MANGSA

Aktivis hak asasi manusia dan penganut-penganut Kristian menyifatkan penutupan gereja Early Rain sebagai “tindakan keras yang terburuk dilakukan oleh pihak berkausa terhadap agama” sejak Revolusi Kebudayaan China, apabila kerajaan pimpinan Mao Zedong berikrar untuk menghapuskan agama.

Menurut pakar, kerajaan China bertindak sedemikian kerana bimbang dengan jumlah penganut Kristian yang semakin bertambah dan potensi kaitan mereka dengan negara Barat.

Namun, langkah ini bukan bertujuan untuk menghapuskan Kristianiti secara menyeluruh, tetapi lebih kepada ‘menundukkannya’.

Lian Xi, seorang profesor di Duke University di North Carolina, Amerika Syarikat (AS) berkata, kerajaan telah melancarkan kempen untuk mengisi elemen-elemen China ke dalam Kristianiti, dan mahu mengubah agama Kristian agar mengikut kehendak dan kepentingan mereka.

Sepanjang tahun lepas, kerajaan-kerajaan tempatan telah menutup ratusan gereja tidak rasmi yang beroperasi di luar rangkaian gereja yang mendapat kelulusan kerajaan.

Satu kenyataan yang ditandatangani oleh 500 pemimpin gereja pada bulan November mendakwa bahawa pihak berkuasa juga telah menanggalkan salib daripada gereja dan memaksa pihak gereja untuk menggantung bendera China serta menyanyikan lagu-lagu patriotik.

 

KEADAAN AKAN BERTAMBAH BURUK…

Ramai penganut Kristian menyatakan bahawa keadaan ini akan bertambah buruk kerana ‘kempen’ kerajaan ini akan dilakukan secara lebih meluas di seluruh negara.

Kurang dari seminggu penutupan gereja Early Rain dan penahanan anggota-anggotanya, polis dilaporkan telah melakukan serbuan ke atas sekolah kanak-kanak Kristian di sebuah gereja di Guangzhou.

Pada bulan November lalu pula, Guangzhou Bible Reformed Church ditutup buat kali kedua dalam tempoh tiga bulan.

“Parti Komunis China (CCP) mahu menjadi ‘Tuhan’ kepada China dan rakyatnya. Tetapi menurut Bible, hanya Tuhan adalah Tuhan.

“Kerajaan takut pada gereja” kata Huang Xiaoning, pastor di Guangzhou Bible Reformed Church.

 

GEREJA-GEREJA YANG DILULUSKAN KERAJAAN JUGA DITUTUP

Difahamkan, kerajaan-kerajaan tempatan juga telah menutup gereja-gereja “sanzi” yang telah mendapat kelulusan untuk beroperasi.

Salah satu petanda pertama penutupan itu adalah apabila pihak berkuasa bertindak menanggalkan lebih daripada 1,000 salib di gereja-gereja di wilayah Zheijiang di antara tahun 2014 dan 2016.

“Matlamat utama tindakan keras ini bukan untuk menghapuskan agama. Presiden Xi Jinping sedang cuba untuk mewujudkan satu perintah baru ke atas agama, dengan menghalang perkembangannya.

“Kerajaan sebenarnya mahu mengawal ‘pasaran agama’ secara menyeluruh,” jelas Ying Fuk Tsang, pengarah Christian Study Centre on Chinese Religion and Culture di Chinese University of Hong Kong.

 

 

Sumber: The Guardian

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker