Sukan

Dari Kem Pelarian Kini Remaja Ini Menjadi Pemain Bayern Munich

Dilahirkan di sebuah kem pelarian di Ghana, Alphonso Davies tidak pernah terfikir untuk bermain bola sepak dengan pasukan terkemuka dunia.

“Ianya seperti terasa di dalam sebuah filem,” kata Bob Lenarduzzi, presiden Vancouver Whitecaps yang kagum dengan pencapaian remaja berusia 18 tahun itu.

Bayern Munich telah mengeluarkan wang sebanyak US$13juta (RM53juta) untuk mendapatkan Davies di dalam pasukan tersebut. Ia merupakan yuran perpindahan tertinggi yang dibayar untuk pemain dalam kategori bola sepak liga utama ( Major League Soccer – MLS).

Davies yang menjadi warganegara Kaneda pada usia 16 tahun ini telah secara rasmi menjadi pemain pasukan tersebut pada 1 Januari kelmarin.

Beliau mengaku masih tidak percaya bakal bermain bersama heronya dalam latihan musim sejuk di Doha.

“Semasa saya kecil, saya akan menonton perlawanan mereka di TV dan bermain bersama mereka di FIFA (permainan video) – kini saya akan berjumpa mereka di depan mata, bermain dan berlawan dengan mereka,” katanya.

“Apabila saya memasuki bilik persalinan buat pertama kali dan orang pertama yang saya lihat ialah (Arjen) Robbben, saya tidak percaya bahawa itu dia – Saya rasa ‘WOW’,” luah Davies.

Davies dibesarkan di kem pelarian Ghana sehingga berusia empat tahun setelah ibu bapa beliau melarikan diri dari perang saudara di Liberia.

“Untuk mendapatkan makanan, kita perlu melalui mayat,” kenang Victoria, ibu Davies yang kemudiannya berhijrah ke Kanada.

Mereka yang tiba di Windsor kemudiannya ke Ontario dan akhirnya tinggal di Edmonton, Alberta.

Di negara yang mengagungkan hoki ais sebagai sukan utama mereka, Davies telah menunjukkan bakat yang luar biasa di dalam permainan bola sepak setelah mengikuti sesi latihan setelah habis sesi persekolahan di sekolah rendah.

Bakatnya itu telah dikesan dengan cepat dan beliau segera dimasukkan ke akademi bola sepak di Edmonton.

Pada usia 14 tahun, Davies telah menarik perhatian semasa beliau mengikuti percubaan di Vancouver dan memasuki sistem belia Whitecaps.

“Anak ini mempunyai bakat semulajadi untuk bermain bola,” kata Tim Adams, pengasas liga ‘Free Footie’, program selepas sekolah di mana bakat Davies pertama kali dicungkil.

Pada usia 15 tahun dan lapan bulan, Davies telah menjadi pemain termuda Kanada untuk bermain di MLS.

Di usia 16 tahun dan 7 bulan, beliau mejadi pemain kebangsaan Kanada termuda untuk bermain di peringkat antarabangsa setelah menjadi rakyat Kanada.

Kejayaan Davies bukan hanya berakhir di situ, pada Julai 2017, Davies telah menjadi penjaring terbanyak dengan tiga gol semasa perlawanan Piala Concacaf Gold di mana Kanada menentang Jamaica di perlawanan suku akhir yang akhirnya melihat Amerika Syarikat memenangi piala tersebut di pusingan akhir.

Pada musim yang lalu, Davies telah menjaringkan lapan gol di dalam 31 perlawanan MSL untuk Vancouver dan mendapat penghormatan dari pemain unggul liga tersebut.

“Saya melihat masa depan yang cerah untuknya,” kata penyerang Sweden Zlatan Ibrahimovic yang kini bermain untuk LA Galaxy.

Craig Dalrymple, mantan jurulatih Davies di Vancouver membandingkannya dengan pemain remaja Perancis, Kylian Mbappe “untuk kekuatan dan kelincahan” tetapi pemain muda ini mengaku bahawa Lionel Messi merupakan idolanya.

Davies yang kini bermain sebagai penyerang atau pemain sayap masih lagi menyesuaikan diri dengan kehidupan di Bayern dan akan menonjolkan diri untuk Budesliga pada 18 Januari ini di Hoffenheim.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker