Isu SemasaTempatan

Sekolah Agama Bukan “Tempat Pembiakan Pengganas”

Sekolah-sekolah agama bukan “tempat pembiakan pengganas” seperti yang dipercayai oleh sesetengah pihak. Sebaliknya, individu yang bekerja dalam bidang profesional telah meliputi sebahagian besar daripada suspek-suspek yang ditahan oleh pihak berkuasa kerana terbabit dengan kumpulan militan IS.

Menurut Ketua Penolong Pengarah (E8), Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Dato’ Ayub Khan bin Mydin Pitchay, penangkapan yang membabitkan sekolah agama hanya merangkumi satu atau dua kes sahaja, manakala selebihnya melibatkan golongan profesional seperti pensyarah, guru, pelajar institut pengajian tinggi, dan juga anggota polis.

Beliau berkata, polis telah menahan seramai 453 individu sejak tahun 2013 yang terlibat dalam kegiatan-kegiatan berkaitan IS.

“Daripada jumlah itu, majoriti daripada mereka yang ditahan tidak datang daripada sekolah agama; tetapi mereka yang ditahan selalunya mempunyai pengetahuan agama yang sangat rendah.

“Ini sekali gus menyangkal persepsi awam bahawa sekolah agama adalah tempat kemunculan pengganas yang sememangnya tidak benar,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Ikrar Sumpah Bebas Jenayah untuk Sekolah Agama Berdaftar Pulau Pinang pada Selasa.

Sebanyak 208 sekolah agama berdaftar termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah tahfiz serta pondok di negeri itu telah berikrar untuk memastikan tempat pengajian mereka bebas daripada sebarang bentuk elemen jenayah dan ekstremis.

Dalam pada itu, Ayob menyatakan bahawa penangkapan yang dilakukan oleh polis ke atas lebih daripada 80 orang berkaitan IS telah menunjukkan penurunan pada tahun lepas..

Beliau turut menggesa orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis, khususnya mengenai individu-individu mencurigakan dan mereka yang terlibat dalam ajaran sesat supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.

“Ledakan teknologi dan maklumat tanpa sempadan menyebabkan masyarakat mudah terpengaruh dengan idieologi ekstremis, yang menggunakan agama untuk memanipulasi pemikiran dan tingkah laku seseorang individu.

“Oleh itu, ia menjadi sukar bagi pihak polis untuk menangani isu ideologi sekiranya tidak mendapat bantuan dan kerjasama daripada semua pihak, apatah lagi sekarang masih lagi ada kegiatan merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai IS di Syria dan Filipina,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Rosli Osman berkata, pihaknya mengambil pendekatan pencegahan demi memastikan ideologi ekstremis tidak meresap masuk ke dalam institusi-institusi agama di negeri tersebut.

“Buat masa ini, tiada laporan mengenai sekolah agama di negeri ini yang terlibat dalam jenayah atau ekstremisme.

“Kita mengambil pendekatan pencegahan untuk membendung penyebaran fenomena ini dalam usaha memastikan ia tidak mempengaruhi guru-guru dan pelajar,” jelasnya.

 

 

Sumber: NST

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close