AntarabangsaIsu Semasa

Korea Selatan Tidak Lagi Menggelar Korea Utara Sebagai “Musuh”

Korea Selatan tidak lagi menggelar Korea Utara sebagai musuhnya di dalam kertas putih Kementerian Pertahanan yang pertama sejak tahun 2010.

Perkara ini sekali gus mencerminkan hubungan yang semakin baik di antara kedua-dua negara itu yang secara teknikalnya, masih dalam keadaan berperang kerana tidak mencapai sebarang perjanjian damai rasmi selepas Perang Korea 1950-1953.

Difahamkan, peperangan tersebut hanya ditamatkan menerusi gencatan senjata.

Dalam sebuah laporan dwitahunan yang diterbitkan pada Selasa, 15 Januari 2019, kementerian tersebut menyatakan bahawa senjata pemusnah besar-besaran (WMD) milik Pyongyang masih kekal sebagai ancaman.

Namun, Seoul tidak lagi menyenaraikan provokasi ketenteraan atau serangan siber Korea Utara sebagai ancaman utama terhadap keselamatannya.

Memetik laporan media antarabangsa, kertas putih ini juga adalah yang pertama diterbitkan di bawah pemerintahan Presiden Moon Jae-in yang mula berkhidmat sebagai pemimpin Korea Selatan pada bulan Mei 2017.

Sejak pelantikannya juga, beliau telah berikrar untuk berusaha ke arah mencapai kedamaian bersama Korea Utara.

Di dalam laporan berkenaan juga, Korea Selatan menggariskan matlamat pertahanan dan keselamatan yang ingin dicapai menjelang dua tahun akan datang, dan mana-mana kuasa/negara luar yang mengancam kemerdekaan serta wilayahnya akan terus dianggap sebagai musuh.

Kertas Putih pertahanan Korea Selatan turut menyatakan rancangannya untuk mengadakan sidang kemuncak dan melaksanakan usaha-usaha diplomatik.

Katanya, Korea Utara telah bersetuju untuk mewujudkan hubungan baru bersama AS dan untuk bekerjasama ke arah “denuklearisasi penuh” semasa sidang kemuncak dengan Presiden Donald Trump pada bulan Jun tahun lalu.

Sebelum ini, Seoul menggelar Pyongyang sebagai musuh atau musuh utamanya.

Sementara itu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un telah mengadakan tiga sidang kemuncak bersama Presiden Moon dan sidang kemuncak pertama bersama Amerika Syarikat (AS) pada tahun lepas.

Selepas bertahun-tahun melancarkan ujian nuklear dan peluru berpandu balisitik sehingga 2017, Pyongyang tidak lagi mengadakan ujian sedemikian lebih daripada setahun sejak proses damai bermula.

Sumber: AFP

Show More

Related Articles

Back to top button