Isu SemasaTempatan

Internet Bertaraf Antarabangsa Untuk Semua Rakyat Malaysia

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berikrar untuk memastikan agar semua rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak, dapat menikmati perkhidmatan internet yang selaras dengan taraf antarabangsa.

Jelas beliau, walaupun geografi Sabah dan Sarawak yang bergunung ganang dan banyak kawasan terpencil menjadi cabaran, perkara ini perlu diatasi juga.

“Kerajaan perlu melihat bagaimana kita boleh memastikan semua rakyat Malaysia mempunyai akses terhadap internet.

“Kementerian mahu memberi penekanan terhadap perkhidmatan internet berkelas dunia, dengan kelajuan minimum 10 Mbps dan 40 Mbps dalam persekitaran yang baik,” katanya dalam satu temubual bersama radio SARAWAKfm dan RTM Kuching.

Dalam pada itu, Gobind turut mennyatakan bahawa pihaknya mahu agar para pengguna internet dapat menggunakan perkhidmatan itu dengan kos yang tidak terlalu tinggi.

“Sekiranya kos penggunaan internet terlalu tinggi, sesetengah orang tidak akan mampu untuk menggunakan perkhidmatan internet,” jelasnya.

Ujar beliau, selepas menyediakan infrastruktur dan kemudahan internet yang mencukupi, kerajaan juga perlu melaksanakan program-program sewajarnya dalam usaha mendidik rakyat mengenai penggunaan teknologi ini demi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Satu perkara yang saya dapat lihat dengan penyediaan kemudahan internet di kawasan-kawasan pedalaman adalah ramai peniaga kecil boleh menggunakan internet untuk mengembangkan pasaran (untuk barangan mereka),” katanya.

Tambahnya lagi, akses terhadap internet juga tidak terhad kepada perniagaan sahaja, tetapi juga merangkumi bidang-bidang lain termasuk perbankan, pendidikan, dan perubatan yang turut menerima manfaat daripada teknologi itu.

“Sebagai contoh dalam perbankan, ramai orang pergi ke bank untuk menyemak baki akaun mereka.

“Namun dengan internet, kita boleh melakukan tugas-tugas perbankan secara atas talian (online),” ujar Gobind.

 

Sumber: BERNAMA

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button