Isu SemasaTempatan

Walaupun Sudah Lebih 60 Tahun Merdeka, Masih Lagi Berlaku “Perpisahan Kaum”

Malaysia masih belum mencapai perpaduan sepenuhnya dalam kalangan berbilang kaum walaupun sudah meraih kemerdekaan lebih daripada enam dekad.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, masih terdapat isu-isu perpisahan kaum dan ini membantutkan Malaysia untuk bergerak ke arah menjadi sebuah negara yang lebih maju.

“Negara kita adalah berbilang kaum, tetapi saya dapati pada waktu ini, kaum-kaum kita masih tidak bersatu seperti yang kita harapkan ketika mencapai kemerdekaan.

“Walaupun rakyat Malaysia telah mengamalkan dan mengekalkan budaya serta bahasa masing-masing, boleh hidup bersama dan tiada rusuhan, hakikatnya masih ada perpisahan perkauman, dan ini tidak baik dan selamat untuk kita.

“Kita memerlukan semua kaum untuk bersatu padu supaya ke mana sahaja kita pergi, kita boleh hidup, bekerja, dan bermain bersama. Jika kita boleh mencapai ini, saya yakin negara kita akan menjadi lebih membangun,” katanya.

Namun menurut Dr Mahathir, Malaysia tidak seperti negara-negara lain yang mempunyai masyarakat berbilang kaum kerana kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 tanpa sebarang pertumpahan darah atau keganasan.

Ujarnya, hasil daripada ini, Malaysia telah memiliki pemimpin-pemimpin yang berpengalaman dalam mentadbir negara kerana pernah bekerja di bawah dan bersama British sebelum negara merdeka.

“Kita perlu bersyukur untuk ini kerana pada kebiasaannya, negara-negara yang mengharungi peperangan dan rusuhan untuk mencapai kemerdekaan, pemimpin mereka akan rasa mereka layak berada di dalam kerajaan, walaupun mereka tidak dilatih dalam urus tadbir.

“Dan disebabkan ini, kita lihat negara-negara tersebut tidak ditadbir dengan baik. Maka kerap terjadi pemerintahan “kuku besi,” jelas beliau.

Difahamkan, Dr Mahathir merujuk kepada Tanzania dan Myanmar sebagai antara contoh negara yang pernah mengharungi pemerintahan autokratik, dan kemudian menghadapi ketegangan kaum selepas melaksanakan sistem demokrasi.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa perkara sedemikian tidak berlaku di Malaysia memandangkan kerajaan membenarkan semua kaum untuk dilayan sama rata dengan memberi kerakyatan kepada mereka.

“Selain daripada itu, usaha-usaha yang dilakukan oleh semua pihak berkepentingan, termasuk parti-parti politik dan pemimpin, kita akan memastikan negara kita ditadbir dengan baik, dengan penglibatan semua kaum,” katanya.

Tambah beliau, senario ini telah bermula sejak negara memperoleh kemerdekaan lagi, apabila para pemimpin pelbagai kaum pada waktu itu bersetuju untuk tidak menentang satu sama lain dan mahu menubuhkan sebuah kerajaan yang mewakili semua rakyat Malaysia.

Tegas Dr Mahathir, ia juga amat penting bagi setiap individu, termasuk ahli politik untuk mempelajari sejarah negara demi mengekalkan keamanan dan semua kaum boleh hidup bersama serta hasil kekayaan negara dapat diagihkan dan dinikmati secara adil dan saksama.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button