MalaysiaPolitik

“Pendirian PH Terhadap Politik Wang Adalah Dwistandard”

Kenyataan Pakatan Harapan dalam menangani isu pemberian wang tunai dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands adalah bersifat dwistandard, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Presiden MCA berkata pada masa lalu, Pakatan akan membantah mengenai politik wang oleh pihak lawan, namun sekarang memilih untuk membiarkan hal ini berlaku apabila ia dilakukan oleh anggota sendiri.

“Di manakah kesedaran Pakatan? Pendirian mereka sebelum ini dan sekarang berbeza. Kemenangan Ahli Parlimen Cameron Highlands (Datuk C. Sivarraajh) dibatalkan kerana Pakatan mengadu tentang politik wang.

“Kini, ahli-ahli yang memakai baju T-shirt Pakatan dilihat telah menyerahkan wang kepada orang awam dan alasan yang mereka gunakan ialah membayar sukarelawan.

“Dengan kewujudan Malaysia Baharu, wujud definisi baru untuk perkataan sukarelawan? Apabila kita mengatakan sukarelawan, apa maksudnya? Menurut kamus, ia adalah seseorang yang memberikan perkhidmatan tanpa mahukan apa-apa balasan.

“Tetapi sekarang sukarelawan adalah seseorang yang memberi perkhidmatan dan boleh mendapat ganjaran atau wang petrol,” kata Dr Wee kepada The Star dalam sidang akhbar.

Foto seorang wanita yang memakai baju T-shirt Pakatan yang mengagihkan wang tunai kepada penyokong parti telah tular di media sosial.

Pakatan Harapan menjelaskan bahawa pemberian itu adalah untuk membayar balik “kos petrol” yang ditanggung oleh sukarelawan yang mengembara ke Tanah Rata semasa hari penamaan calon pada hari Sabtu.

Dr Wee juga berkata beliau mendapati bahawa agak aneh apabila pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat insiden itu.

“Saya percaya SPR mempunyai pasukan untuk memantau semua aktiviti berkempen, jadi jika mereka tahu sesuatu telah berlaku, mengapa mereka tidak boleh mengambil tindakan?

“Jika mereka boleh tanggalkan gambar seseorang dari poster kempen, kenapa mereka tidak boleh menyiasat kejadian itu? Ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Beliau juga berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis perlu menyiasat kejadian itu.

“Pemuda MIC telah membuat laporan polis, apakah tindakan yang diambil? Di manakah orang yang menyerahkan wang itu? Dia sepatutnya disiasat.”

Dr Wee juga mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mahu menyiasat siapa yang telah menyebarkan gambar itu. Beliau menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut dan memanggil mereka yang terlibat untuk disoal siasat.

“Bukankah pihak berkuasa sepatutnya menyiasat orang yang memberikan wang itu? Kenapa perlu siasat penyebar gambar?”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button