AntarabangsaIsu Semasa

China Mahu Ubah Cara Agama Islam Diamalkan?

China telah meluluskan satu undang-undang baru untuk mengubah cara agama Islam diamalkan di negara itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Lapor akhbar Bahasa Inggeris utama China, Global Times, kerajaan negara itu, selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil daripada 8 buah persatuan Islamik, telah bersetuju untuk menjadikan Islam lebih sesuai dengan sosialisme dan mengambil langkah-langkah untuk mengisi elemen-elemen China dalam agama tersebut.

Walau bagaimanapun, akhbar itu tidak menyatakan maklumat terperinci berhubung persatuan-persatuan terbabit.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China telah mengambil langkah agresif terhadap kumpulan-kumpulan agama untuk mengubah cara amalan mereka.

Kebebasan agama juga dilaporkan semakin disekat di bawah pemerintahan Presiden Xi Jinping, pemimpin China yang paling berkuasa sejak Mao Zedong.

Difahamkan, mengamalkan agama Islam telah diharamkan di beberapa bahagian di China, di mana individu-individu yang didapati menunaikan solat, berpuasa, menyimpan janggut atau memakai hijab menghadapi ancaman ditahan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih daripada satu juta etnik Islam Uighur telah ditahan di kem-kem tahanan.

Di sana, mereka dipaksa untuk mengubah pemikiran politik, menghapuskan kepercayaan mereka terhadap agama Islam, serta membentuk semula identiti mereka.

Bukan itu sahaja, tahanan-tahanan juga dipaksa untuk bersumpah taat setia terhadap parti pemerintah, Parti Komunis yang tidak mempercayai sebarang agama.

Dalam pada itu, kumpulan-kumpulan hak asasi manusia menuduh China melakukan “pembersihan etnik”. Pada bulan Ogos tahun lepas, Washington Post berkata bahawa “seluruh dunia tidak boleh mengabaikan kempen ini dilakukan ke atas Muslim”.

Agensi berita antarabangsa, Associated Press melaporkan bahawa lambang-lambang Islamik termasuk bulan sabit dan bintang juga telah ditanggalkan dari masjid-masjid, manakala sekolah agama serta kelas Bahasa Arab pula diharamkan dan kanak-kanak dilarang untuk menyertai sebarang aktiviti Muslim.

China telah menolak segala kritikan itu sambil menyatakan bahawa ia melindungi agama dan budaya golongan minoriti.

Namun pada hujung bulan Disember lalu, pihak berkuasa China di wilayah Yunnan dilaporkan telah menutup tiga buah masjid yang ditubuhkan oleh etnik minoriti Islam Hui.

 

Sumber: Al-Jazeera

 

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker