Isu SemasaTempatan

Bagaimana Untuk Menghapuskan Amalan ‘Duit Kopi’?

Rasuah ibarat barah yang amat mudah merebak dan sukar untuk dihentikan.

Rasuah juga adalah satu perbuatan yang zalim kerana pada kebiasaannya, ia bertujuan untuk “meletakkan sesuatu yang bukan pada tempatnya.”

Sekiranya berleluasa dan tidak terkawal, rasuah mampu melumpuhkan institusi serta pentadbiran sesebuah negara.

Tidak dinafikan bahawa gejala ini turut dilihat sebagai sesuatu yang mustahil untuk dihapuskan sepenuhnya, namun kita boleh melakukan perubahan dengan mengambil langkah-langkah sewajarnya.

Berdasarkan artikel terbitan New Straits Times berjudul “Corruption: Beating Bribes”, langkah utama untuk berusaha ke arah Malaysia yang bebas rasuah bermula dengan diri kita sendiri.

Sebelum memerangi rasuah pada skala yang lebih besar, ia amat penting untuk memastikan bahawa kita sendiri bukan individu yang korup.

Kita perlu menjauhkan diri daripada perbuatan menerima dan mengambil rasuah. Apabila kita menunjukkan contoh yang baik, ia akan menjadi inspirasi kepada individu-individu lain untuk mengikuti jejak langkah kita.

Sehubungan dengan itu, kita juga perlu menjadi seorang manusia yang adil di semua peringkat. Menjadi adil bermakna kita meletakkan sesuatu pada tempat yang betul.

Untuk menjadi manusia yang adil memerlukan transformasi peribadi, ilmu pengetahuan dan juga pembaharuan institusi di peringkat kebangsaan.

Ketidakadilan pula adalah perbuatan yang menyalahi orang lain atau menuntut sesuatu perkara yang bukan hak menjadi milik kita.

Sesebuah negara tidak boleh mengamalkan keadilan sekiranya rakyatnya tidak adil terhadap satu sama lain.

Tidak kira tua atau muda, semua orang perlu dibimbing dan dididik untuk menjadi individu yang adil dan saksama.

Selain itu, ketelusan di dalam urus tadbir kerajaan juga adalah amat penting.

Langkah terbaru kerajaan mewajibkan jemaah menteri mengisytihar aset untuk diterbitkan kepada umum adalah satu tindakan bagus yang perlu diteruskan serta diperluaskan lagi.

Sebarang tender/projek kerajaan juga harus dibuka kepada orang awam kerana projek-projek ini berpotensi menjadi salah satu lubuk utama rasuah.

Senario ini dapat dilihat apabila kontraktor/syarikat yang mahukan sesuatu projek bertindak memberi ‘duit kopi’ kepada pegawai yang mempunyai kuasa untuk memilih dan menentukan siapa yang akan memenangi tender tersebut.

Semakin terbuka dan telus proses perolehan projek/tender itu, kemungkinan untuk terjadi salah laku juga akan berkurangan.

Media bebas dan masyarakat sivil juga memainkan peranan penting dalam usaha memerangi rasuah. Kedua-dua pihak ini boleh mengutarakan insiden salah laku yang berlaku serta membantu membentuk masyarakat yang bebas rasuah.

Mereka boleh dan perlu menuntut kebertanggungjawaban daripada pemimpin-pemimpin politik, penjawat awam, dan pihak-pihak yang berkenaan dalam sektor swasta.

Sumber: NST

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker