Isu SemasaTempatan

Malaysia Berusaha ‘Hapuskan’ Orang Tengah Dalam Pengambilan Pekerja Asing

Demi menangani penindasan ke atas pekerja buruh warga asing, kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk menghapuskan sistem “orang tengah” yang mengenakan bayaran tinggi ke atas pekerja-pekerja berkenaan untuk mencari rezeki di negara ini.

Tindakan orang tengah yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan para pekerja asing terpaksa memikul beban hutang yang tinggi, sekali gus menjadikan mereka terdedah dengan eksploitasi serta penindasan.

Dalam pada itu, Malaysia juga amat bergantung pada pekerja asing dalam pekerjaan-pekerjaan yang kurang mendapat sambutan dalam kalangan warga tempatan seperti bekerja di tapak pembinaan, ladang, dan juga kilang.

Namun, ramai pekerja asing yang datang ke Malaysia terpaksa meminjam sejumlah wang yang besar hanya untuk membayar ejen-ejen yang merekrut mereka.

Ini bermakna bahawa mereka perlu bekerja bertahun-tahun dengan keuntungan pendapatan yang tidak banyak, memandangkan mereka terpaksa membelanjakan sebahagian besar daripada gaji untuk membayar hutang.

Situasi ini adalah satu bentuk perhambaan moden yang juga dikenali sebagai “perhambaan hutang”.

Bagi menangani masalah ini, Malaysia telah mengadakan perjanjian dengan Nepal untuk merekrut pekerja secara langsung, tanpa melalui “orang tengah”.

Perjanjian ini dilakukan selepas Nepal menggantung penghantaran pekerjanya ke Malaysia buat sementara waktu pada Julai tahun lepas kerana bimbang dengan layanan tidak baik yang diberi kepada mereka.

“Ia bertujuan untuk membanteras penyeludupan manusia dan pengeksploitasian pekerja.

“Mereka tidak patut diletakkan dalam keadaan perhambaan hutang di negara ini dan terperangkap dalam kitaran membayar balik wang tersebut (kepada orang tengah),” kata Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran kepada Reuters pada Disember lalu.

Difahamkan, golongan majikan sepatutnya perlu menanggung semua kos pengambilan pekerja asing termasuk pengangkutan udara, visa, serta yuran pemeriksaan kesihatan.

Kulasegaran berkata, Malaysia juga sedang melakukan rundingan perjanjian serupa dengan Bangladesh, Indonesia dan Vietnam.

Bangladesh, Indonesia dan Nepal adalah penyedia pekerja asing utama kepada Malaysia.

Berdasarkan statistik kerajaan, Malaysia mempunyai hampir 2 juta pekerja asing yang berdaftar, namun masih terdapat jutaan pekerja yang bekerja tanpa permit yang sah.

Dalam satu kenyataan pada Disember lalu, syarikat tempatan Top Glove berkata, ia tidak akan berurusan dengan ejen-ejen pengrekrut yang tidak beretika selepas mendapati bahawa segelintir pekerjanya bekerja lebih masa yang keterlaluan kerana mahu melangsaikan hutang dengan lebih cepat.

Top Glove adalah syarikat pembuat sarung tangan getah yang terbesar di dunia.

Aktivis-aktivis juga dilaporkan telah berkempen selama bertahun-tahun untuk menggesa kerajaan menghapuskan orang tengah yang mengenakan bayaran bernilai RM20,000 ke atas pekerja asing.

Jumlah yang banyak itu akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dilangsaikan oleh mereka.

Menurut Organisasi Buruh Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perhambaan hutang menjejaskan lebih daripada 40 juta individu di seluruh dunia.

Sumber: The Star – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker