Bisnes & Ekonomi

Cara Filipina Berusaha Membasmi Gelandangan Bekerja Di Metro Manila

Jalanan di malam hari di kota Manila agak penuh dengan kanak-kanak bermain, para remaja bergurau senda dan orang dewasa yang duduk minum di warung kopi.

Di seberang jalan tempat tinggal kami iaitu Makabata Guesthouse pada malam pertama itu kuat kedengaran muzik seperti sebuah pesta. Bilik yang kami sewa pula mempunyai balkoni yang melihat ke arah jalanan yang bertentangan dengan jalan tersebut. Namun dek kerana penat perjalanan, kami hanyut di alam mimpi walaupun muzik yang dipasang agak kuat.

Keesokan paginya, kami terkejut juga rupanya bunyi muzik dari seberang jalan itu sebenarnya ialah sempena kematian seseorang. Namun menurut sebuah portal factsanddetails.com, sebuah pesta akan diadakan oleh ahli keluarga dan sahabat terdekat setelah satu tahun pemergian orang yang meninggal dunia.

Inilah perkara yang terbaik apabila kita pergi melawat negara orang, kita dapat belajar adat dan budaya mereka. Tidak kiralah apa yang mereka lakukan tetapi kita haruslah menghormatinya.

Melihat jadual waktu yang telah ditetapkan oleh Mabuhay Restop untuk kami, sememangnya banyak tempat-tempat perniagaan sosial yang akan kita lewati.

Setelah sarapan pagi bersama makanan tempatan Filipina iaitu Bangusilog, ikan goreng, telur mata dan nasi, kami pun menaiki bas untuk ke destinasi pertama iaitu Citihub.

Sarapan pagi warga Filipina

Citihub – sewa dalam bandar pada kadar yang sangat rendah

Citihub merupakan perniagaan sosial untuk mengurangkan beban kos sara hidup untuk para pekerja di bandar di samping memberi tempat tinggal yang selamat, bersih dan pada kadar yang berpatutan.  

Dengan hanya P1,700 per bulan bersamaan RM135, anda boleh mendapatkan tempat tinggal ini di pusat tumpuan di Metro Manila. Jika hendak disamakan, ianya lebih murah dari harga satu set ayam dan nasi di Filipina bagi satu malam menginap di Citihub.

Metro Manila dan Manila, apa perbezaannya?

Bagi yang tidak pasti perbezaan antara Metro Manila dan Manila, Manila merupakan ibu kota Filipina dan merupakan bandar kedua terbesar. Ia merupakan salah satu bandar di dalam Metro Manila yang terdiri daripada 16 bandar keseluruhannya.

Metro Manila mempunyai populasi penduduk seramai 12.8 juta pada tahun 2015 manakala bandar Manila mempunyai populasi seramai 1.78 juta orang pada tahun 2016.

Dengan populasi yang sangat tinggi, sudah pasti kepadatan penduduknya adalah juga sangat tinggi. Manila merupakan antara bandar terpadat di dunia dengan hampir 43 ribu orang tinggal dalam satu kilomter persegi.

Oleh sebab ini juga, harga sewa di bandar adalah sangat tinggi dan terhad.

Misi untuk membasmi gelandangan di bandar

Melihat terdapat potensi untuk memperbaiki keadaan ini, Panya Boonsirithum, pengasas dan ketua projek bagi tanggungjawab sosial korporat ini telah mendapat idea untuk membina tempat tinggal pada harga yang sangat minima.

Panya Boonsirithum, pengasas dan ketua projek Citihub

Semua ini boleh terjadi kerana Citihub ini dibuat menggunakan kontena yang tidak terpakai.

Dimulakan pada tahun 2011 dengan pengisytiharan Citihub yang pertama di Mandaluyong dengan empat kontena yang telah ditambah mengikut semasa sehingga mampu beroperasi pada kapasiti 264 katil dengan 16 kontena.

Citihub Manduluyong

Citihub yang mempunyai misi jelas iaitu mahu memberikan tempat tinggal kepada orang bekerja dan membasmi gelandangan, kini mempunyai tiga cawangan setelah pembukaannya yang pertama. Ia terletak di Sta. Mesa, Cainta dan yang terkini, Balintawak.

Bersama dengan peserta rombongan anjuran MyHarapan, kami melawat Citihub yang terletak di Balintawak dan disambut oleh pengasasnya, Panya Boonsirithum.

Citihub Balintawak. Sumber Imej : Facebook Syed Azmi

Citihub – unik dan bersih

Kawasan berpagar dan terdapat pegawai keselamatan ini sememangnya kelihatan sangat unik. Bangunan kontena tiga tingkat ini tidak ramai penghuni di siang hari. Ini adalah kerana hampir kesemua penghuninya adalah dari kalangan orang bekerja.

Menurut Panya, Citihub ini adalah hanya tempat persinggahan seperti asrama di mana pada hujung minggu para penyewa akan pulang ke halaman rumah untuk melihat ahli keluarga mereka.

Tempat tinggal atau asrama Citihub ini dilengkapi dengan Wifi percuma, air dan elektrik. Penyewa mempunyai pilihan untuk menyewa katil di kabin yang berhawa dingin ataupun dengan kipas. Kabin yang dilengkapi dengan penghawa dingin ini akan dibuka selama 8 jam setiap hari iaitu dari 9 malam sehingga 5 pagi tetapi mempunyai kipas siling yang beroperasi 24 jam.

Setiap penyewa akan mendapatkan loker untuk menyimpan barang, dan katil yang mempunyai tirai. Kabin ini juga diasingkan untuk lelaki dan perempuan seperti juga tandas yang disediakan juga diasingkan. Apa yang mengagumkan ialah tahap kebersihan tandas dan kawasan awam mereka. Ia sangat bersih dan terjaga rapi.

Sumber Imej : Facebook Citihub
Sumber Imej : Facebook Syed Azmi
Sumber Imej : Facebook Syed Azmi

Terdapat ruang santai bersama untuk tengok tv, makan dan stesen tempat bekerja atau mengecas telefon.

Sumber Imej : Facebook Syed Azmi
Sumber Imej : Facebook Syed Azmi

Juga terbuka kepada pelancong yang mahu menyewa

Citihub mempunyai tiga kriteria untuk bagi penyewa yang mahu tinggal di sini.
1. Mereka harus membuktikan bahawa mereka bekerja di Metro Manila tidak kira sama ada anda warga tempatan atau tidak.
2. Penyewa mempunyai kesihatan yang baik.
3. Penyewa tidak mempunyai rekod jenayah.

Walaupun mereka membuka peluang kepada warga asing untuk tinggal di Citihub, namun kebanyakan penghuni adalah warga tempatan.

Panya berkongsikan terdapat juga para backpackers daripada Eropah pernah menyewa katil di Citihub hanya untuk merasai pengalaman di situ dan bagi yang berminat, anda boleh menyewa katil di Citihub melalui laman web.

Kemudahan selain tempat tinggal juga diberikan

Untuk mendapatkan rekod kesihatan para penghuni, mereka yang bekerja di Metro Manila perlu mendapatkan ujian kesihatan. Oleh itu, rekod yang sama akan diberikan kepada pihak Citihub dan pada masa yang sama terdapat juga NGO yang datang untuk memberi perkhidmatan kesihatan percuma sebulan sekali.

Selain perkhidmatan kesihatan percuma, terdapat juga NGO yang datang untuk memberi nasihat kewangan dan mengajar tentang pertahanan diri.

Menurut Panya, bagaimana mereka mendapatkan kawasan untuk membina Citihub di bandar ialah dengan berkerjasama dengan tuan tanah yang mempunyai hasrat untuk melabur. Mereka juga mendapat sokongan dari bank dan kontena pula didapatkan secara percuma kerana ia tidak digunakan lagi oleh syarikat-syarikat kontena.

Malaysia juga berusaha untuk melakukan perkara yang sama

Bagi yang berminat dengan ‘micro-housing’ yang dilancarkan oleh DBKL yang bakal wujud di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada pertengahan tahun ini dengan kadar RM100 sebulan, kemungkinan besar anda boleh bayangkan tempat tinggal yang sama seperti ini? Bersih, selesa dan aman.

____

*Ikuti lagi perjalanan kami bersama myHarapan menelusuri perniagaan sosial di Manila, Filipina pada rencana seterusnya.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker