Isu SemasaPolitikTempatan

BN Perlu Lakukan Satu Perkara Ini Kalau Nak Menang PRK Cameron Highlands

Strategi Barisan Nasional (BN) meletakkan Ramli Mohd Noor yang merupakan orang asli dan bekas pegawai polis sebagai calon mereka untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dijangka akan menarik lebih banyak undi bagi gabungan itu.

Walau bagaimanapun, penganalisis politik mempercayai bahawa ia masih akan menjadi perjuangan yang sukar buat BN yang tidak lagi memegang kuasa di peringkat persekutuan.

Menurut penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Sivamurugan Pandian, cabaran yang dihadapi oleh BN adalah untuk meyakinkan pengundi-pengundi bahawa ia akan mampu menunaikan janji-janjinya.

Masyarakat orang asli yang merangkumi 22% daripada keseluruhan populasi pengundi di Cameron Highlands juga dilihat sebagai “king maker” atau penentu utama dalam PRK kali ini.

Dr Sivamurugan berkata, BN mungkin sedang mengurangkan konflik dalaman yang berpotensi untuk berlaku dengan menempatkan calon yang bukan ahli mana-mana parti komponen di dalamnya.

“Sudah tentu, Barisan mempertaruhkan segalanya, tetapi selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, ia perlu menang dan mengekalkan kerusi itu walau apa pun berlaku,” katanya.

Tambah beliau lagi, BN juga mengambil risiko yang lebih tinggi dengan tidak meletakkan calon MIC untuk bertanding.

Parlimen Cameron Highlands merupakan kerusi tradisi MIC dan parti itu telah berjaya mempertahankannya sejak beberapa penggal lalu.

“Ia adalah pertaruhan yang berisiko apabila mereka beralih daripada strategi tradisional yang memberi MIC untuk bertanding kerusi itu,” jelasnya.

Dr Sivamurugan turut menyatakan bahawa ia masih tidak jelas sama ada keletihan pengundi akan menyebabkan kadar keluar mengundi yang sedikit, seperti PRK lain yang dilaksanakan pasca-PRU14.

Sementara itu, aktivis hak tanah, Tijah Tok Chopli berkata, isu-isu berhubung tanah akan memainkan peranan besar dalam PRK kali ini.

Tijah yang merupakan orang asli dari Pahang menyatakan bahawa komunitinya kini lebih sedar akan hak mereka sebagai pengundi.

Beliau berkata, terdapat banyak janji yang masih belum ditunaikan oleh BN pada masa dahulu ketika ia menjadi pemerintah negara.

“Jika Barisan benar-benar mahu menang pilihan raya ini, kerajaan negeri Pahang perlu mewartakan kampung-kampung orang asli yang ada ini sebagai tanah NCR (hak adat bumiputera).

“Jangan berjanji lagi, tetapi lakukannya sekarang. Dengan cara itu, orang asli akan mengundi anda,” katanya.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker