Isu SemasaKesihatanTempatan

Pendidikan Seks: Elemen pendidikan ditambahbaik

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pendidikan bersetuju untuk bekerjasama dan mencari kaedah terbaik bagi mengatasi masalah hubungan seks dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata berdasarkan rekod dan statistik, seramai sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di kelas peralihan seluruh negara dikesan cergas dalam hubungan seks.

Sehubungan itu, beliau sendiri akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Ni Ching, dalam masa terdekat bagi mengekang masalah terbabit.

“Pada masa ini, semua pihak harus bekerjasama dan berkongsi idea dalam mengatasi masalah hubungan seks di kalangan pelajar.

“Bagi saya, statistik sembilan peratus pelajar kelas peralihan terbabit dalam hubungan seks bebas adalah satu jumlah yang besar,” katanya.

Beliau berkata dalam mesyuarat antara kementeriannya dan Kementerian Pendidikan itu, satu rumusan akan diputuskan bagi memastikan mata pelajaran pendidikan seks dapat dilaksanakan di semua peringkat sekolah.

Katanya, kalau kita tidak mengajar kanak-kanak ini mengenai pendidikan seks, mereka akan mengetahuinya melalui segala bentuk laman sosial yang ada pada masa ini dan kalau tidak digunakan dengan cara yang betul, dikhuatiri ia akan menghancurkan satu generasi.

“Dalam zaman serba moden ini, remaja seawal usia 13 tahun sudah tahu apa itu seks, namun mereka perlu diberikan maklumat yang betul mengenainya.

“Justeru, pengajaran dalam mata pelajaran pendidikan seks ini amat penting dalam menyampaikan sesuatu perkara yang benar kepada anak-anak kita,” katanya.

 

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata pendidikan seks perlu ditambah baik dan dihebahkan dengan lebih meluas berikutan semakin ramai golongan muda terdedah dengan maklumat mengenai seks.

“Memandangkan anak muda semakin terdedah kepada maklumat mengenai seks, kedua-dua kementerian bersetuju untuk menghebahkan lagi mengenai pendidikan seks.

Nie Ching berkata, elemen pendidikan seks ketika ini didedahkan kepada pelajar sekolah dalam buku teks mata pelajaran Pendidikan Kesihatan menerusi subjek Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial.

 

– Berita Harian

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker