Isu SemasaTempatan

Hina Raja: Perlukah Gubal Undang-Undang Baharu?

Cerita mengenai monarki kita semakin hangat diperkatakan terutama di atas talian. Tetapi beberapa naratif atau kenyataan yang dikeluarkan oleh segelintir pihak, berbaur negatif dan menyinggung perasaan.

Untuk mengekang masalah ini, ada yang mencadangkan bahawa Malaysia perlu mengikut jejak Thailand. Di Thailand, kesalahan sedemikian boleh membawa hukuman sehingga 15 tahun penjara. Jika itu tidak mencukupi, pesalah diperintahkan untuk berlutut di khalayak ramai.

Perkara 112 dalam kod jenayah Thailand ¬†menyatakan sesiapa yang “memalukan, menghina atau mengancam raja, ratu, pewaris atau pegawai istana” akan dihukum sehingga 15 tahun penjara. Ia dilaksanakan sejak diperkenalkan pada tahun 1908.

Walau bagaimanapun, ini bukanlah amalan monarki di Malaysia dan ia tidak sepatutnya menjadi contoh ikutan.

Hal ini kerana undang-undang yang menindas rakyat bukanlah sesuatu yang diamalkan pada zaman ini. Undang-undang raja telah dibuang dalam kebanyakan sistem perundangan negara di seluruh dunia mengikut arus peredaran masa.

Sebagai contoh di Tudor England, hasutan boleh menyebabkan orang Inggeris dihukum bunuh tetapi pada abad ke-18, monarki telah menjadi sistem yang lebih berperikemanusiaan.

Menurut laporan NST, perundangan diraja Thailand juga telah menerima kritikan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada 19 Jun tahun lepas, BBC memetik Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB Hak Asasi Manusia yang mengatakan bahawa undang-undang raja di Tahiland sangat bermasalah dengan kadar pendakwaan yang tinggi dan hukuman yang tidak seimbang bagi kesalahan itu.

Contoh yang paling ketara, mahkamah di Bangkok mengenakan hukuman 60 tahun penjara ke atas pengendali pemandu pelancong berusia 48 tahun, Pongsak Sriboonpheng, 10 tahun untuk setiap status Facebook yang mengkritik sistem monarki negara itu. Hukuman dikurangkan kepada 30 tahun apabila dia mengaku bersalah.

Kenyataan di Facebook amat membahayakan kerana kebanyakan individu memberi komen tanpa berfikir panjang. Tetapi tidak perlu untuk kita membalas komen negatif terbabit dengan hukuman yang berat.

Di Malaysia, penghinaan kepada raja tidak memerlukan undang-undang lain. Terdapat undang-undang khas yang sudah sedia ada untuk mengawal kelakuan sedemikian terhadap raja-raja.

Pakar undang-undang perlembagaan Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dari Universiti Malaya mengatakan bahawa tuntutan untuk memperkenalkan undang-undang raja adalah tindak balas yang naif.

Beliau berpendapat bahawa sudah terdapat undang-undang yang cukup untuk menangani perkara-perkara sedemikian. Contohnya, Kanun Keseksaan mempunyai peruntukan yang boleh digunakan untuk memerangi pesalah yang menghina golongan diraja: bahagian 121 (B), 121 (I), 499 dan 501.

Akta Hasutan 1948 juga mempunyai peruntukan yang mencukupi. Undang-undang ini dan lain-lain di Malaysia sudah mencukupi untuk mengelakkan penghinaan kepada raja atau sultan.

Mereka yang berusaha untuk mempertahankan monarki dari ancaman sedemikian harus mencari jalan keluar yang lain dan cara yang paling berkesan adalah melalui pendidikan sosial.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker