Sukan

“Saya sudah ‘set’ minda saya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik” – DLCW

Datuk Lee Chong Wei (DLCW) yang disahkan mengidap kanser hidung peringkat awal pada bulan September setelah mengalami masalah pernafasan dan dirawat di Taiwan telah pulang ke tanah air dan kembali menjalani latihan.

Pada 1 Januari yang lalu, TheStar telah menerbitkan rencana perbualan bersama Datuk Lee Chong Wei untuk mengetahui rancangannya pada tahun 2019 dan keadaan kesihatan beliau. Kami kongsikan sedikit perbualan di antara pemain badminton pujaan ramai ini dengan wartawan StarSport..

Bagaimana keadaan kesihatan Datuk semasa sedang mengalami rawatan di Taiwan?

DLCW : Saya sangat takut semasa saya perlu ke Taiwan sekali lagi semasa cuti Krismas. Saya perlu melalui lagi imbasan dan ujian darah. Tetapi saya sangat bersyukur kanser saya tidak merebak.

Doktor juga telah memberi kebenaran untuk berlatih semula tetapi tidak boleh terlalu berat. Saya hanya boleh berusaha setakat 30% daripada upaya sebenar saya. Saya okay dengan perkara ini, ia suatu permulaan yang baik.

Saya perlu kembali semula ke Taiwan selepas cuti Tahun Baru Cina untuk doktor melihat keadaan saya sama ada boleh kembali membuat latihan sepenuh masa atau tidak.

Bila Datuk akan memulakan latihan ringan tersebut?

DLCW: Saya tidak akan memulakannya segera.. saya mahu melaksanakan tugas saya sebagai seorang bapa dahulu. Saya mahu mendaftarkan anak saya Kingston ke tadika pada Jan 2.

Saya akan memulakan latihan pada minggu kedua Januari. Saya bakal memfokuskan latihan di gim. Saya perlu mendapatkan semula tahap kecergasan saya. Saya tidak begitu risau tentang kemahiran.. ia sudah ada dan ia tidak akan menjadi begitu sukar untuk digilap semula.

*Menurut Utusan, DLCW sudah mula menjalani latihan di gelanggang Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada 7 Januari kelmarin.

Apakah kesukaran yang bakal ditempoh untuk bermula semula?

DLCW: Sebenarnya saya masih bermain badminton walaupun saya berada di Taiwan seminggu sebelum rawatan. Rakan saya mempunyai sebuah gelanggang badminton peribadi di sana dan saya menggunakannya untuk mengeluarkan peluh.

Saya juga berlatih di gimnasium kondo saya semasa sedang menjalani rawatan sebelum badan saya menjadi terlalu lemah untuk melakukan apa-apa.

Apabila saya tiba di rumah, saya terus melakukan senaman di gim. Fisioterapi saya, Sandar (Fielder dari Institut Sukan Negara) telah membantu saya di KL. Saya melakukan banyak angkat berat. Saya juga memiliki gim di rumah saya.

Saya tahu ia akan sukar untuk memulakan semula sebab saya tidak pasti setakat mana tubuh saya boleh menampungnya jika saya berusaha lebih tetapi saya sudah ‘set’ minda saya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Ada pihak yang mahu saya berhenti secara menyeluruh tetapi terdapat pihak lain yang juga memberi sokongan untuk meneruskan bermain… Saya rasa saya akan menyesal jika saya tidak mencuba.

Adakalanya saya akan membawa raket saya ke bilik tidur, hanya untuk merasakannya semula. Saya sangat teruja tetapi pada masa sama saya tidak akan mengendahkan kesihatan saya – itu adalah keutamaan saya.

Saya juga sangat berhati-hati dengan pemakanan. Saya mengambil lebih sayur-sayuran dan telah mengurangkan pengambilan makanan laut.

Jika semua berjalan lancar, bilakah Datuk akan mula bertanding lagi?

DLCW: Pertandingan antarabangsa pertama dijangkakan ialah Terbuka Malaysia (April 2-7). Saya sudah memenanginya untuk 12 kali sebelum saya jatuh sakit. Ia adalah baik jika saya bermula di situ.

Saya harap kedudukan saya tidak akan jatuh dengan lebih teruk lagi (kedudukan terkini DLCW ialah ke-23).

Saya juga sedang melihat pertandingan Piala Sudirman di China (May 19-26). Ia adalah pertandingan penting yang pertama untuk mendapatkan mata kelayakan ke Olimpik.

Para pemain Malaysia sedang mengalami kesukaran untuk mencapai peringkat Datuk. Apakah nasihat Datuk untuk mereka?

DLCW: Saya rindukan semua pemain yang bermain untuk pasukan kebangsaan walaupun kami masih berhubung. Saya harap mereka tidak akan berasa tertekan. Semua orang bekerja keras dan telah mengorbankan banyak perkara. Jika tidak, mengapa mereka berpenat lelah selama tujuh jam sehari?

China juga sedang mengalami kesukaran untuk mencari seorang lagi Lin Dan manakala Indonesia juga belum berjumpa Taufik (Hidayat) yang lain. Ia akan mengambil masa dan tidak semua pemain boleh cemerlang pada masa yang singkat.

Saya berharap BAM akan memahami para pemainnya. Bagi pemain yang tidak dapat menangani tekanan yang dihadapi, mereka perlu berbincang dengan pihak pengurusan. Kita harus bekerjasama dalam hal ini.

Apakah harapan Tahun Baru Datuk?

DLCW: Saya berharap untuk tahun yang lebih baik. Saya mahukan kesihatan yang baik. Saya berharap semua orang akan juga menjaga kesihatan masing-masing.

Saya juga mahu menhabiskan masa berkualiti saya bersama isteri Wong Mew Choo dan anak-anak saya, Kingston dan Terrance. Ini adalah Malaysia baharu dan saya berharap kita dapat meneruskan kerjasama yang telah terjalin – bukan hanya dalam sukan tetapi dalam setiap aspek.

 

Sumber Imej Terencana: SouthChinaMorningPost

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker