MalaysiaPolitik

PRK Cameron Highlands Penuh Kejutan

Sebut sahaja Cameron Highlands, perkara pertama yang menerjah minda ialah pemandangan  berbukit-bukau yang merupakan pusat pengeluaran strawberi di negara ini, bersama dengan perkebunan teh dan ladang sayuran yang luas.

Destinasi resort yang merupakan daerah terkecil di Pahang itu, terkenal dengan iklim sejuknya dan kekal sebagai satu-satunya titik tertinggi di Semenanjung Malaysia yang boleh diakses melalui jalan raya.

Walaupun beberapa isu melanda Cameron Highlands sejak beberapa tahun ini, termasuk lambakan pekerja asing, bencana banjir lumpur dan aktiviti eksploitasi tanah haram, kawasan peranginan itu terus kekal sebagai destinasi agro-pelancongan teratas.

Kini, pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Jan ini akan meningkatkan lagi popularitinya.

Hampir setahun selepas memenangi kawasan parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), calon Barisan Nasional (BN) Datuk C. Sivarraajh, yang juga Naib Presiden MIC, dilucutkan sebagai anggota Parlimen apabila Mahkamah Pilihan Raya memutuskan bahawa pengundi telah disogok untuk memihak kepada BN.

Orang ramai menjangkankan bahawa BN akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya untuk membatalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Cameron Highlands, namun pakatan itu memilih untuk membiarkan rakyat (pengundi) membuat keputusan dalam pilihan raya kecil.

Dikatakan sebagai kubu kuat BN, MIC telah bertanding dan memenangi kerusi parlimen Cameron Highlands dalam empat pilihan raya umum berturut-turut (sejak 2004 – 2018) dan dua pilihan raya umum terakhir (2013 dan 2018) menyaksikan pertempuran lima penjuru dengan BN menang dengan majoriti tipis.

Bagaimanapun, banyak drama dan kejutan dijangka muncul dalam PRK Cameron Highlands kerana ia akan menjadi yang pertama diadakan di kawasan pilihan raya yang dimenangi oleh BN dalam PRU14 dan pilihan raya kecil pertama yang akan diadakan di negeri yang dipimpin oleh BN.

Keempat-empat PRK yang dijalankan selepas PRU14 adalah di Selangor iaitu di kerusi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong serta kerusi Parlimen Port Dickson di Negeri Sembilan yang diketuai kerajaan Pakatan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang dipilih sebagai pengarah pilihan raya kecil Cameron Highlands, adalah ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai keempat, dan ia adalah menarik untuk melihat bagaimana pasukannya melaksanakan strategi mereka untuk memastikan kerusi itun kekal sebagai kubu BN.

Apa yang membuatnya menarik dalam PRK Cameron Highlands adalah undi Orang Asli yang mewakili kira-kira 21 peratus daripada jumlah pengundi (32,008) boleh menjadi kritikal dalam menentukan pemenang pada hari pengundian.

Terdapat kira-kira 34 peratus pengundi Melayu, 30 peratus pengundi Cina dan 15 peratus pengundi India di kawasan Parlimen yang mempunyai dua kerusi iaitu Tanah Rata dan Jelai yang dimenangi calon DAP dan Umno dalam PRU14.

Pensyarah politik dan pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, menyuarakan sokongan Orang Asli sebagai tidak menentu kerana mereka yang mengundi BN dalam PRU14 mungkin memutuskan untuk memilih calon lain termasuk Pakatan Harapan.

“Kita tidak boleh lagi menggambarkan undi daripada masyarakat Orang Asli sebagai deposit tetap untuk BN kerana demam Malaysia Baharu boleh melanda seluruh masyarakat.

“Oleh kerana PH adalah kerajaan, mungkin ada pengundi atas pagar di kalangan penduduk Orang Asli yang boleh dipengaruhi oleh mereka yang bertanding.”

Beliau berkata pilihan raya kecil itu akan menjadi pertandingan yang sengit dan pemenang mungkin akan menang dengan majoriti tipis.

“Seperti yang kita tahu ada banyak isu di sekitar Cameron Highlands. Orang Asli di Jelai mungkin berharap untuk jalan raya yang lebih baik di kampung mereka sementara mereka yang tinggal di Tanah Rata mungkin berharap penyelesaian jangka panjang kepada banjir kilat dan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil Cameron Highlands akan diadakan pada hari Sabtu (12 Jan), pengundian awal pada 22 Jan dan hari pengundian akan berlangsung pada 26 Januari.

Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker