Isu SemasaPolitikTempatan

GPS Tidak Akan Pelawa Penyertaan Mana-Mana Parti Politik

Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan mempelawa mana-mana parti politik untuk menjadi sebahagian daripada gagasannya.

Menurut Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi, parti-parti politik yang berminat untuk menyertai pakatan berkenaan, perlu mengemukakan permohonan secara rasmi.

“Mana-mana parti politik yang berminat untuk menyertai kami, termasuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (UPP) perlu melakukan permohan rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pemimpin UPP yang mendakwa bahawa parti tersebut tidak menerima sebarang undangan daripada GPS untuk menyertai pakatan itu.

Dalam pada itu, terdapat juga khabar yang mengatakan bahawa parti-parti politik lain di Sarawak seperti Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) mungkin berminat untuk menyertai GPS.

Namun Alexander berkata, barisan kepimpinan GPS akan menentukan sama ada akan menerima permohonan parti-parti tersebut atau sebaliknya.

GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu:

1. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

2. Parti Rakyat Sarawak (PRS)

3. Parti Demokratik Progresif (PDP)

4. Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)

Kesemua empat parti tersebut telah sebulat suara membuat pengumuman untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 12 Jun berikutan kekalahan pertama BN dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi pembentukan gagasan ini, kerajaan negeri dan rakyat kini mempunyai platform yang lebih kukuh bagi menyuarakan pandangan secara bebas demi melindungi kepentingan Sarawak.

Abang Johari turut mengalu-alukan kerjasama kerajaan negeri dengan kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) memandangkan GPS adalah sebuah gagasan yang “mesra kerajaan persekutuan”.

Difahamkan juga, beliau telah merasmikan pelancaran logo dan lagu GPS di ibu pejabat PBB pada Rabu, sebagai persediaan awal berdepan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) pada tahun 2021 nanti.

Sumber: Bernama

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker