AntarabangsaIsu Semasa

Golongan Tua Dan Konservatif Di AS Lebih Cenderung Kongsi Berita Palsu?

Kajian terbaru mendapati bahawa pengguna-pengguna Facebook yang berusia 65 tahun ke atas dan konservatif lebih cenderung untuk mengongsikan berita palsu di laman itu berbanding golongan yang lebih muda dan liberal.

Para penyelidik dari Princeton University dan New York University telah menganalisis terbitan Facebook milik hampir 1,200 individu yang bersetuju untuk mengongsikan data mereka pasca Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2016.

Kemudian, penyelidik juga membandingkan pautan yang dikongsikan di Facebook oleh responden dengan beberapa senarai laman sesawang yang didapati menyebarkan maklumat palsu.

Hasil kajian menunjukkan bahawa kurang daripada 8.5% responden telah mengongsikan pautan daripada salah satu laman sesawang tersebut.

Namun, mereka yang berbuat demikian adalah dari kalangan golongan tua dan juga konservatif dari segi politik.

Bukan itu sahaja, malah pengguna Facebook berusia lebih 65 tahun (tanpa mengira kecenderungan politik) didapati mengongsikan “hampir 7 kali ganda lebih banyak artikel daripada portal berita palsu” berbanding individu-individu berusia 18-29 tahun.

“Tidak ada ciri-ciri demografik lain yang mempunyai impak konsisten dalam menyebarkan berita palsu.

“Ia tidak mustahil bahawa seluruh kelompok rakyat Amerika, berusia dalam lingkungan 60an dan ke atas, tidak berapa celik media digital untuk menentukan kesahihan berita yang dijumpai di atas talian,” kata penyelidik-penyelidik tersebut.

Dalam pada itu, penyelidik berpandangan bahawa penuaan pada memori juga boleh memberi impak terhadap kecenderungan seseorang individu dalam menentukan perkara yang benar atau tidak.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa golongan Republikan mengongsikan berita palsu lebih banyak daripada Demokrat, dan ini mungkin kerana kebanyakan artikel berita palsu yang diterbitkan ketika kempen pilihan raya presiden AS 2016 bersifat pro-Donald Trump.

“Jika berita palsu tersebut pro-Clinton dan bukan pro-Trump, ia tidak mustahil bahawa lebih ramai golongan liberal akan mengongsikan berita itu berbanding puak konservatif,” kata penyelidik.

Sementara itu, Facebook telah dikritik hebat kerana gagal menghalang manipulasi maklumat dan penyebaran maklumat yang salah, termasuk daripada organisasi-organisasi Rusia ketika pilihan raya berkenaan.

Tetapi, gergasi laman sosial itu kemudian berikrar menjadi lebih telus dalam sesi pendengaran Kongres dan di mana-mana sahaja, selain daripada meningkatkan usaha untuk mencari dan menghapuskan akaun palsu serta pengaruh asing dalam kempen tempatan.

Sumber: AFP

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker