AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Rakyat Thailand ‘Kena Tipu’ Sekali Lagi?

Sejak mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada tahun 2014, kerajaan Thailand pimpinan junta (tentera) telah berjanji untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum, namun mereka menangguhkannya buat beberapa kali sekali gus mencetuskan kemarahan rakyat.

Walau bagaimanapun pada bulan Disember lalu, kerajaan akhirnya mengesahkan bahawa pilihan raya tersebut akan dilaksanakan pada 24 Februari tahun ini.

Tetapi terdapat kemungkinan pilihan raya akan ditangguhkan sekali lagi apabila Timbalan Perdana Menteri, Wissanu Krea-ngam pada Jumaat lepas menyatakan bahawa acara/majlis pasca-pilihan raya akan bertentangan dengan majlis-majlis berkaitan kemahkotaan Raja Maha Vajiralongkorn dari 4 Mei sehingga 6 Mei 2019.

Tidak berpuas hati dengan pengumuman itu, puluhan aktivis tempatan telah mengadakan bantahan pada Ahad, 6 Januari 2019.

Ia juga merupakan protes yang pertama berlaku sejak junta menarik larangan kegiatan politik pada bulan lepas.

“Kita mahu kerajaan mengadakan pilihan raya secepat mungkin agar demokrasi di negara kita boleh bergerak ke hadapan,” kata Anon Nampa, seorang peguam hak asasi manusia dan aktivis anti-junta yang menganjurkan protes berkenaan di kawasan Victory Monument di Bangkok.

Dalam pada itu, penunjuk perasaan turut membawa papan tanda yang tertulis “Kami Mahukan Pilihan Raya” dan “Pilihan Raya hanya pada 24 Feb 2019”, sambil melaungkan “tiada lagi penangguhan!” secara beramai-ramai.

Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi berhubung penangguhan terbaru itu, namun menyatakan bahawa ia sudah mengetahui cadangan kerajaan untuk menangguhkan pemilihan tersebut.

Pilihan raya kali ini bertujuan untuk mengembalikan semula pemerintahan demokrasi selepas kerajaan demokratik pimpinan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra digulingkan oleh tentera berikutan insiden keganasan dan ketidakstabilan politk yang berlanjutan terlalu lama.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker