Isu SemasaTempatan

Pelantikan Politik Dalam GLC Hanya Akan Dipertimbang Sekiranya….

Pelantikan politik bagi jawatan ahli lembaga pengarah dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) hanya akan dipertimbang sekiranya mereka mempunyai merit berdasarkan kemahiran dan kelayakan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, Pakatan Harapan (PH) bersetuju bahawa tidak akan ada ganjaran politik di dalam GLC, tetapi ia bukanlah dari konteks bahawa ahli-ahli politik tidak boleh memegang sebarang jawatan.

“Ini adalah kerana terdapat ahli politik yang profesional seperti akauntan, jurutera dan arkitek, yang boleh menyumbang kepada pembangunan GLC,” katanya selepas majlis perasmian pejabat eksekutif baru Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebagai pengerusi Mara Corporation Sdn Bhd.

Jelas Azmin, sekiranya seseorang ahli politik itu mempunyai kepakaran, kelayakan dan pengalaman yang sewajarnya, mereka boleh dipertimbang untuk memegang jawatan-jawatan tinggi di dalam GLC.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa keutamaan tetap diberi kepada golongan profesional berbanding ahli politik untuk menerajui GLC.

Namun, pelantikan politik di dalam era “Malaysia Baru” ini dikatakan bercanggah dengan janji yang terkandung di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan.

Di dalam manifesto tersebut, Pakatan berikrar untuk tidak melantik ahli-ahli politik bagi menerajui syarikat berkaitan kerajaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya berkata, PH telah memungkiri janji sendiri sejak diberi mandat untuk memerintah negara pada 10 Mei lalu lagi.

“Tidak akan ada lantikan politik oleh PH dalam GLC. Malaysia baharu… Mungkir janji sejak 10 Mei 2018,” katanya pada 5 Januari baru-baru ini.

 

Sumber: The Star, The Sun Daily

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker