Bisnes & Ekonomi

Tealive: Tiada Apa Yang Boleh Menghalang Jejaka 33 Tahun Ini Mengembangkan Perniagaannya

Bagi penggemar teh susu ‘bubble’, jenama Tealive sudah tidak asing lagi.

Walaupun ramai yang masih fikir ia merupakan syarikat yang sama dengan jenama yang sudah lama bertapak di Malaysia iaitu Chatime, namun Tealive kini merupakan syarikat yang dimiliki oleh anak watan.

Bryan Loo, Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd bersyukur kerana perjalanan perniagaannya telah bertukar dengan baik daripada seorang francaisee Chatime kepada pemilik Tealive.

Tealive kini memiliki 200 premis di mana 165 premis sebelum ini menggunakan jenama Chatime sebelum Loob Holding ditamatkan kontrak oleh pemilik Chatime yang berasal dari Taiwan iaitu La Kaffa International Co Ltd pada Januari 2017.

Penambahan 50 premis dalam masa satu tahun merupakan perkara yang sangat positif bagi syarikat milik pemuda berusia 33 tahun ini.

“Menjadi seorang pemilik jenama harus memiliki perubahan minda. Sebelum ini kami hanya mengambil arahan tetapi sekarang kita perlu menjaga jenama kita sendiri dan memikirkan bagaimana untuk menjadikannya sebuah jenama antarabangsa. Kami rasa lebih bersemangat dan mempunyai tujuan yang lebih besar kerana Tealive merupakan jenama dari Malaysia,”kata Bryan ke TheStar.

Tealive kini menyajikan air minuman kepada 2.5 juta pembeli setiap bulan dan mereka mahukan mereka merasai satu pengalaman yang baharu dengan melakukan inovasi terbaru.

Terdapat lebih 30 premis kini boleh dilihat menggunakan inovasi ini dengan air terkenal mereka akan disajikan melalui sistem dispenser di depan mata dan bukan lagi di belakang counter atau premis.

Tealive sudah ke luar negara

Tealive di Vietnam. Sumber Gambar : says.com

Bryan komited untuk menjadikan jenama Tealive terkenal di peringkat antarabangsa dan ini ditonjolkan apabila dalam masa enam bulan mereka sudah dibawa ke Vietnam dengan pembukaan 8 premis pada hujung tahun 2018.

Pada awal 2018 pula Loob telah mengadakan usaha sama dengan dua syarikat China, Zhejiang Boduo International Trade Co Ltd dan Shanghai Panfei International Trade Co Ltd dengan cadangan membuka 500 premis dalam masa lima tahun.

Pada bulan Julai 2018, Tealive juga berjaya menembusi pasaran Australia dengan membuka kedai pertama mereka di Melbourne dan baru-baru ini telah menamakan francisee master di India dengan sasaran untuk membuka 200 premis dalam masa lima tahun.

Takut dengan kekangan bahasa di antara negara

Mengakui agak takut dengan kekangan bahasa di antara negara dan ketidakpastian yang terjadi, Bryan tetap optimis dan telah mendirikan pasukanya sendiri untuk mengkaji pasaran.

Walaupun terdapat usahasama dengan syarikat lain di luar negara, Bryan tetap memastikan bahawa Loob akan memiliki saham terbesar di dalam syarikat tersebut.

Teh Oolong dengan Mousse Durian dan juga air panas seperti Teh Susu Halia Sabah.

Tealive mempunyai keunikan dan cabarannya tersendiri di setiap negara mereka pergi. Contohnya di Australia yang mana gaji pekerja di sana adalah lebih mahal, Tealive menyajikan minuman yang memangkin kesihatan dengan kolagen di dalam minuman bagi mengelak daripada stigma masyarakat yang menyatakan teh bubble ini adalah tidak sihat.

Tealive di Melbourne. Sumber Gambar : www.australiandesignreview.com

Di China, pesaingnya adalah sangat sengit. Oleh itu mereka menggunakan kandungan minuman yang menunjukkan identiti Malaysia seperti “Durian Milkshake”, Teh Hijau dan Teh Oolong dengan Mousse Durian dan juga air panas seperti Teh Susu Halia Sabah.

Menjelang 2020, Bryan berharap untuk menembusi 15 pasaran termasuk Jepun, Indonesia, Myanmar, Mongolia dan Emirate Arab Bersatu.

Walaupun teringin juga untuk memasuki pasaran Eropah kerana kebanyakan jenama teh bubble dari Taiwan dan China ini selalunya menghindarkan diri daripada pasaran pertuturan Inggeris ini, Bryan berkata dia tidak mahu meletakkan terlalu banyak tekanan kepada kadar aliran wangnya.

Sehingga kini, Tealive telah memiliki 210 premis tempatan dan 15 di luar negara.

Setiap pusat membeli-belah sudah pasti memiliki Tealivenya tersendiri

“Kemungkinan besar tahun depan sudah tidak ada lagi tempat di dalam pusat membeli-belah yang bakal didirikan premis Tealive, tetapi kami akan melihat peluang premis seperti kedai sendiri ataupun di stesen minyak. Kami masih positif kerana produk yang kami tawarkan bukanlah dari kategori premium dan boleh dilihat menarik ramai golongan,” ujar Bryan.  

Perancangan 2019

Loob Holdings juga mempunyai pelan pada tahun 2019 untuk membuat kandungan ‘bubble’ mereka sendiri. Ini kerana Malaysia merupakan pengeluar ubi yang besar yang mana ia merupakan kandungan utama dalam pembuatan ‘bubble’.

“Rakan syarikat kami di China merupakan kumpulan F&B ke-empat terbesar di China. Mereka memiliki 14,800 premis di China dan juga merupakan pengeluar. Oleh itu kami akan melakukan kerjasama dengan mereka untuk mendirikan infrastruktur bagi mendirikannya,” tambah Bryan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker