Isu SemasaTempatan

PDRM Tingkatkan Keselamatan Di Sempadan Malaysia-Indonesia

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan keselamatan di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan Barat berikutan insiden penculikan lima rakyat oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) di hutan berdekatan Kampung Danau Melikin, pada 11 Disember.

Difahamkan, lima orang mangsa yang berusia 15 sehingga 64 tahun itu diculik ketika sedang mengutip kayu berhampiran kampung berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah mangsa-mangsa turut mengalami detik yang cukup menakutkan apabila pasukan keselamatan Indonesia berkenaan mengacu senjata kepada mereka seolah-olah mereka adalah ‘penjenayah yang berbahaya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun baru-baru ini berkata, PDRM telah mengambil langkah-langkah pro-aktif bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang akan menyelaraskan pelaksanaan kawalan yang lebih ketat di kawasan sempadan itu.

“Kawalan ketat di sempadan perlu dilaksanakan supaya insiden penculikan sebelum ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang dan ia juga akan membabitkan tentera serta pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam satu sidang media pada Isnin.

Mengulas lebih lanjut mengenai insiden itu, Fuzi menyatakan bahawa polis sedang menunggu arahan lanjut daripada timbalan pendakwa raya sama ada akan mendakwa penculik-penculik tersebut atau tidak.

“Kita juga tidak akan membenarkan warga asing, termasuk tentera luar menceroboh wilayah negara kita tidak kira di darat, laut, mahupun ruang udara,” tegas beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dalam satu kenyataan pada Disember lepas berkata, Indonesia telah mengakui kesilapan berhubung penculikan itu dan akan memastikan insiden sedemikian tidak akan berulang lagi memandangkan ia adalah satu bentuk pencerobohan kedaulatan negara.

“Indonesia mengakui kesilapan mereka dan menyambut baik peringatan kita bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi pada masa depan,” ujar Marzuki.

Sumber: BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button