AntarabangsaIsu Semasa

Myanmar Semakin ‘Hilang Sabar’ Terhadap Pemberontak

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi  dilaporkan telah mengadakan pertemuan yang ‘jarang berlaku’ bersama ketua tentera bagi membincangkan isu-isu berhubung “hal ehwal luar dan keselamatan negara,” termasuk insiden serangan yang dilancarkan oleh puak pemberontak ke atas empat pejabat polis di negeri Rakhine ketika sambutan Hari Kemerdekaan negara itu pada Jumaat, 4 Januari 2019.

Jurucakap kerajaan, Zaw Htay berkata, Presiden Win Myint, anggota-anggota kabinet yang lain, dan ketua perisikan tentera turut terlibat di dalam pertemuan itu.

“Pejabat presiden telah mengarahkan tentera untuk melancarkan operasi ketenteraan dalam usaha menghapuskan pengganas-pengganas tersebut,” kata Zaw Htay dalam satu kenyataa baru-baru ini.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB), pertempuran di antara pasukan keselamatan kerajaan dan puak pemberontak yang dikenali sebagai Arakan Army di barat Rakhine telah menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal sejak awal bulan Disember.

Difahamkan, Arakan Army mahu menuntut autonomi yang lebih besar di Rakhine, di mana majoriti populasi di negeri itu adalah etnik Buddha.

Serangan pada Jumaat lepas telah mengorbankan 13 anggota polis manakala 9 lagi tercedera.

Seorang jurucakap Arakan Army memaklumkan bahawa kumpulan itu telah menyerang pasukan keselamatan negara sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan yang dilancarkan secara meluas oleh tentera di utara Rakhine, yang turut menyasarkan orang awam.

Dalam pada itu, Zaw Htay menyifatkan Arakan Army sebagai “organisasi pengganas” sambil menyatakan bahawa kumpulan itu boleh menggugat kestabilan Rakhine bagi tahun-tahun yang akan datang.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memberi sebarang sokongan terhadap pemberontak itu.

“Adakah mereka mahu melihat kitaran keganasan yang akan kekal selama berdekad-dekad?

“Saya mahu memberi tahu rakyat Rakhine yang menyokong Arakan Army: Jangan fikir tentang diri anda sendiri, tetapi fikirlah tentang generasi anda yang akan datang,” tegasnya.

Sejak memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1948, kerajaan Myanmar dikatakan telah bertempur dengan pelbagai kumpulan pemberontak etnik minoriti.

Zaw Htay turut menuduh Arakan Army mengadakan pertemuan dengan Arakan Rohingya Salvation Army, iaitu kumpulan pemberontak Rohingya yang juga dianggap sebagai “pengganas” oleh kerajaan Myanmar.

Tambah beliau, Myanmar masih tidak mampu untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan itu memandangkan mereka mempunyai juga pangkalan di seluruh sempadan di Bangladesh.

Walau bagaimanapun, seorang pegawai Kementerian Luar Bangladesh dan dua orang Pengawal Sempadan Negara itu (BGB) menafikan tuduhan tersebut dan meminta Myanmar untuk meminta bukti kewujudan kem militan di Bangladesh.

“Semua keganasan itu berlaku di seberang sempadan. Seluruh dunia tahu apa yang telah berlaku di seberang sana (Myanmar),” kata Leftenan Kolonel Nanzural Hasan Khan, komander BGB di Cox’s Bazar.

Cox’s Bazar merupakan daerah yang menempatkan lebih daripada 900,000 pelarian Rohingya yang datang untuk mendapatkan perlindungan akibat penganiayaan dan penindasan yang dilakukan ke atas mereka oleh tentera Myanmar.

Sumber: Straits Times – Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker