AntarabangsaIsu Semasa

China & AS Mahu Bekerjasama Tamatkan Perang Dagang

Dalam satu kenyataan terbaru pada Isnin, Kementerian Luar China mengatakan bahawa Beijing mahu bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam perdagangan.

Kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu dilaporkan terus mengadakan rundingan dalam usaha menamatkan Perang Dagang yang telah mengeruhkan lagi hubungan mereka.

Difahamkan, pegawai-pegawai AS mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatan mereka di Beijing pada minggu ini buat pertama kali sejak Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping, pada Disember lepas, bersetuju untuk menguatkuasakan ‘gencatan senjata’ perang dagang selama 90 hari.

Pada Ahad, 6 Januari 2019, Trump menyatakan bahawa rundingan perdagangan dengan China berjalan dengan lancar dan kelemahan yang wujud dalam ekonomi China memberi sebab kepada Beijing untuk berusaha ke arah mengadakan perjanjian.

Oleh itu, menurut jurucakap Kementerian Luar, Lu Kang, AS dan China telah sebulat suara bersetuju untuk mengadakan rundingan serta dialog yang “positif dan konstruktif” demi menyelesaikan pertikaian perdagangan mengikut konsensus yang dipersetujui di antara pemimpin masing-masing.

“Sejak mula lagi, kami mempercayai bahawa konflik dagang China-AS bukanlah satu situasi positif bagi kedua-dua negara atau ekonomi dunia.

“China mempunyai niat yang baik atas dasar penghormatan dan kesamarataan, untuk menyelesaikan konflik dagang dua hala ini,” kata Lu.

Tahun lepas, Trump telah mengenakan tarif import ke atas barangan China bernilai berbilion dolar dan turut mengancam tindakan yang lebih tegas terhadap Beijing.

Ancaman tersebut dikatakan bertujuan untuk menekan China agar mengubah cara/dasarnya dalam pelbagai isu termasuk subsidi industri dan harta intelek.

Tidak berpuas hati dengan tindakan Trump, China kemudian melancarkan ‘serangan balas’ dengan mengenakan tarif ke atas barang dagang AS juga.

“Tidak kira ekonomi China bagus atau tidak, saya sudah pun menjelaskannya.

“Pembangunan China mempunyai keupayaan yang tinggi dan potensi yang besar. Kami yakin dengan asas-asas jangka masa panjang yang kukuh dalam ekonomi China,” ujar Lu.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close