Bisnes & EkonomiTempatan

Harga Lada Merudum Tiga Tahun Berturut-Turut

Harga lada terus jatuh untuk tahun ketiga berturut-turut pada 2018 berikutan lebihan bekalan di pasaran global.

Perkara ini menyebabkan pekebun-pekebun lada di Sarawak – yang merupakan pengeluar lada utama negara – mengalami kesukaran untuk menyara kehidupan mereka, walaupun dengan adanya bantuan kerajaan.

Difahamkan, harga lada dijangka akan kembali pulih dalam tempoh dua atau tiga tahun yang akan datang.

“Saya rasa bagi pekebun, ia adalah mengenai titik pulang modal,” kata William SC Yii, pengarah Nguong Aik (Kuching) Sdn Bhd, syarikat pengeksport lada utama Sarawak.

Memetik laporan The Star, harga lada putih merudum sebanyak 27% manakala lada hitam pula jatuh 33% pada tahun 2018.

Kejatuhan harga dikatakan bermula pada separuh kedua 2016 selepas lada hitam dan putih bergred tinggi masing-masing bernilai RM50,000 dan RM30,000 satu tan.

Yii berkata, lada putih berkualiti tinggi pada Disember 2018 pula berharga RM15,000 satu tan, sementara lada hitam hanya RM8,000 satu tan.

Namun, Lembaga Lada Malaysia (MPB) cuba sedaya upaya untuk membantu pekebun-pekebun dengan membeli lada-lada tersebut pada kadar harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran lain.

Difahamkan, MPB membeli lada putih berkrim pada harga RM19,360 satu tan sedangkan harga untuk lada putih berkualiti sederhana adalah RM15,756 satu tan.

Harga lada hitam berkualiti tinggi pula dibeli pada RM9,365 satu tan berbanding RM8,000 di pasaran-pasaran lain.

Dalam pada itu, Yii menjelaskan bahawa lebihan bekalan global menyumbang kepada kejatuhan harga lada tempatan.

“Bagi tiga pengeluar lada utama dunia – Vietnam, Indonesia dan Brazil, hasil tahunan mereka adalah agak besar,” katanya.

Vietnam yang merupakan pengeksport lada utama dunia, telah meningkatkan pengeluaran tahunannya daripada 135,000 tan pada tahun 2011 kepada 210,000 tan pada 2017.

Eksport lada hitam Vietnam merangkumi di antara 60% dan 65% perdagangan global keseluruhan dan hampir separuh daripada pengeluaran global.

 

 

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker