AntarabangsaIsu Semasa

Enjin Jet Terbesar Dunia Sedia “Terbangkan” Pesawat Terbesar Boeing!

Pesawat terbesar syarikat terkemuka Boeing, 777X yang dilengkapi dengan enjin jet terbesar dunia buatan General Electric, GE9X dijangka akan membuat penerbangan sulungnya secara rasmi pada bulan depan.

Pesawat itu kini ditempatkan di pusat pemasangannya yang terletak di bandar Everett, Washington di Amerika Syarikat (AS).

Difahamkan, enjin GE9X adalah enjin turbin yang terbesar di dunia yang dihasilkan. Saiznya dikatakan mempunyai persamaan dengan hampir keseluruhan badan pesawat Boeing 737.

Enjin tersebut telah diuji pada bulan Mac tahun lepas dengan memasang turbin tunggal pada sebuah Boeing 747.

Memetik info daripada laman sesawang Popular Mechanics, GE9X merangkumi kipas komposit berukuran lebih daripada 11 kaki diameter, yang dipasang pada kapsul enjin berukuran 14 kaki setengah.

Ia mempunyai 16 bilah kipas komposit dan tergantung pada sayap pesawat 777x yang berukuran 118 kaki, sekali gus menjadikannya pesawat dua enjin yang terbesar di dunia.

Walaupun enjin lebih besar berpotensi meningkatkan kos dan penggunaan minyak, tetapi pesawat ini direka untuk mengurangkannya.

Menurut Boeing, sayap pesawatnya yang besar itu dikatakan mampu menghasilkan lebih banyak daya tarikan, dan ini sekali gus akan mengurangkan penggunaan minyak sebanyak 20%.

Dalam pada itu, walaupun GE9X adalah enjin yang terbesar di dunia, ia bukan enjin yang paling berkuasa.

Sebuah lagi enjin, iaitu GE90 merangkul ‘gelaran’ enjin paling berkuasa kerana ia mampu menghasilkan tujahan sebanyak 127,900 paun, manakala GE9X pula hanya menghasilkan tujahan 105,000 paun.

Sumber: Popular Mechanics

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker