Isu SemasaPolitikTempatan

“Saya Hanya Perdana Menteri Sementara Sahaja” – Tun M

Ketika Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dilaksanakan pada Disember lalu, terdapat beberapa perwakilan yang mencadangkan agar Tun Dr Mahathir Mohamad terus kekal sebagai pemimpin negara bagi penggal yang penuh.

Namun, Dr Mahathir terus berpegang kepada janjinya bahawa beliau hanya akan menjadi Perdana Menteri buat sementara waktu sahaja dan akan memberi laluan kepada penggantinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua tahun.

“Saya sedar desakan supaya kita terus ada Perdana Menteri yang tua ini lama-lama lagi, tapi suatu ketika dulu kita adalah pembangkang, kita tubuh parti dan harap dapat sokongan, khususnya daripada orang Melayu.

“Kalau dapat sokongan orang Melayu saja tanpa parti lain, saya tak yakin kita dapat menang. Untuk adakan gabungan parti, maka kita berunding dengan rakan kita.

“Satu syarat dikenakan ialah supaya (saya) yang juga bekas musuh ketat mereka boleh jadi Perdana Menteri untuk sementara,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung tersebut.

Difahamkan, Dr Mahathir telah berjanji untuk menjadi PM buat tempoh dua tahun sahaja sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi.

Oleh yang demikian, beliau menyatakan bahawa ahli-ahli BERSATU perlu bertolak ansur dan menerima perjanjian tersebut memandangkan pengorbanan setiap parti komponen PH pada waktu itu yang membawa kemenangan kepada pakatan tersebut pada PRU14.

“Dalam perjuangan, perlu ada tolak ansur. Kalau kita berdegil, berkeras, kita akan binasa, jauh sekali mencapai matlamat digariskan kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyatakan bahawa beliau kadang kala agak “popular” kerana dikatakan tidak tahu bagaimana untuk memilih individu-individu yang betul dalam kerajaan.

Tambahnya, beliau juga pernah dikritik kerana memilih Tan Sri Musa Hitam (kini Tun) sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1980an.

Apabila ditanya sama ada beliau akan melakukan kesalahan lagi dalam memilih penggantinya, Dr Mahathir berkata:

“Saya akan beritahu jawapan saya dua tahun kemudian.”

 

Sumber: The Star , Hmetro

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button