Bisnes & Ekonomi

Kanak-Kanak Jalanan Filipina Melihat Penggiat Usahawan Sosial Seperti Selebriti Tempatan

Manila, ibu kota Filipina di mana rakyat dari pelbagai daerah datang untuk mencari rezeki masing-masing.

Padat dengan hampir 12 juta orang di sini, menurut laman worldpopulationreview.com, Manila merupakan bandar terpadat di dunia.

Kesibukan kota Manila, kesukaran untuk bersaing mendapat pekerjaan serta kos menampung keluarga di dalam bandar adalah antara faktor menyebabkan kewujudan 3.1 juta gelandangan di Manila yang mana 1.2 juta daripadanya terdiri daripada kanak-kanak.

Keadaan ini telah mendorong kewujudan perniagaan sosial yang dikelolakan oleh warga tempatan yang mana kebanyakannya diketuai oleh anak muda bagi membantu golongan miskin ini untuk mempunyai kehidupan yang lebih baik.

Bermula seawal 1995 mereka sudah memiliki pergerakan untuk membantu orang miskin di negara yang mendapat julukan “Pearl of the Orient” ini.

Oleh sebab ini juga Yayasan Amanah Belia (myHarapan) telah mengadakan lawatan untuk mempelajari perniagaan sosial yang didirikan di sana.

Setibanya di lapangan terbang antarabangsa Ninoy Aquino, kami disambut oleh dua orang tempatan dengan senyuman dan riak wajah gembira menyambut kedatangan kami walaupun sebenarnya mereka sudah lama menantikan kehadiran kami kerana kelewatan penerbangan selama beberapa jam.

Seperti bertemu selebriti Manila

Kami dibawa oleh dua wakil daripada Mabuhay Restop untuk makan tengahari di tempat operasi mereka yang terletak bersebelahan Taman Rizal, sebuah taman untuk memperingati Jose Rizal, seorang nasionalis pada zaman penjajahan Sepanyol.

Perjalanan yang tidak memakan masa yang panjang ini juga disambut oleh beberapa kanak-kanak jalanan yang cuba menghiburkan diri di tepi jalan dan setelah melihat salah seorang daripada wakil daripada Mabuhay Restop yang berada di dalam bas, terlihat riak wajah gembira kanak-kanak tersebut seperti melihat seorang selebriti.

Rupa-rupanya Mara Salvacion, wakil daripada Mabuhay Restop yang juga CEO syarikat tersebut sering mengadakan konsert untuk menghiburkan kanak-kanak jalanan ini pada setiap hujung minggu menjelang sambutan perayaan Krismas. Terdetik di hati mengatakan pasti Mara ini seorang yang baik hati dan pemurah sehingga kanak-kanak ini boleh mengingatinya.

Tiba di Mabuhay Restop kami disajikan dengan makanan Arab sambil diberi taklimat tentang syarikat mereka.

Mabuhay Restop

Mara Salvacion bersama Rose Cabrera

Mabuhay Restop ini didirikan oleh Rose Cabrera, seorang peguam di Amerika Syarikat yang meninggalkan tanah kelahirannya sejak berumur 17 tahun tetapi pulang semula ke negara asalnya pada tahun 2008 setelah menjadi sukarelawan mengikuti komuniti Gawad Kalinga (GK).

Terinspirasi dengan kegiatan dan misi GK, beliau meninggalkan kerjaya hebat beliau untuk membantu warga Filipina mengakhiri kemiskinan yang dialami oleh mereka yang kurang bernasib baik.

Mabuhay Restop merupakan sebuah perniagaan sosial agensi pelancongan dan kafe yang menyajikan pengalaman menziarahi tempat-tempat di Filipina.

Apa yang membezakan mereka daripada agensi pelancongan yang lain ialah mereka mengadakan pakej percutian berasaskan pendidikan kebudayaan masyarakat setempat di samping memberi sokongan terhadap pengusaha tempatan.

Mereka mahu menaikkan semula budaya unik yang pelbagai di Filipina kerana pemiliknya melihat tidak banyak tempat yang memberi tumpuan kepada seni dan budaya setempat seperti air nyiur dari Tacloban, bakul buatan tangan oleh suku Batak di Palawan dan banyak lagi.

Walaupun kini Cabrera telah kembali semula ke Amerika Syarikat, beliau telah memberi tanggungjawab syarikat yang diasaskan oleh beliau kepada anak muda untuk mengelolakannya.

Jika anda berkesempatan melawat Mabuhay Restop di kota Manila, anda boleh membeli barangan buatan tempatan bagi membantu komuniti melalui perniagaan sosial masing-masing di sana. Mereka menjual pelbagai produk. Contohnya coklat unik yang mempunyai ciri-ciri tempatan dengan jenama Theo & Philo.

Coklat jenama Theo & Philo buatan Filipina yang menyokong penggiat koko tempatan

 

____

*Ikuti lagi perjalanan kami bersama myHarapan menelusuri perniagaan sosial di Manila, Filipina pada rencana seterusnya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker