Isu SemasaPolitikTempatan

Ada Orang Dalam PKR Nak Halang Anwar Jadi PM?

Baru-baru ini, kumpulan pro-Anwar yang dikenali sebagai Otai Reformis 1998 mendakwa bahawa terdapat individu-individu di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ingin menghalang presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa beliau hanya akan memimpin negara selama dua tahun sahaja.

Ujar Dr Mahathir, beliau tidak akan memegang jawatan itu lebih lama melainkan ada persetujuan daripada Anwar, yang merupakan bakal penggantinya.

Pengerusi Otai Reformis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Iris Ahmad berkata, ia amat jelas bahawa wujud segelintir pihak yang mahu menghalang Anwar dan mencetuskan senario perebutan kuasa.

“Otai Reformis akan menentang sesiapa sahaja yang cuba untuk menggagalkan Anwar daripada menjadi perdana menteri seperti yang telah dipersetujui oleh majlis presiden Pakatan Harapan (PH),” kata Dr Idris dalam satu sidang media khas.

Tambah beliau, Otai Reformis turut membantah cadangan yang diusulkan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang meminta agar Dr Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri untuk penggal yang penuh (5 tahun).

Apabila diminta untuk mengulas secara terperinci mengenai ahli-ahli PKR yang tidak bersetuju dengan peralihan kuasa tersebut, Dr Idris menyatakan bahawa perkara itu boleh dilihat dengan jelas menerusi sesetengah terbitan di Facebook, serta kenyataan terbaru daripada seorang “menteri”.

“Kita tidak mahu keraguan ditimbulkan dan kita akan mempertahankan peralihan kuasa itu secara habis-habisan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Idris menjelaskan bahawa Otai Reformis adalah sebuah pergerakan bukan politik yang ditubuhkan oleh rakyat pada tahun 1998 untuk menggesa pelaksanaan pembaharuan institusi.

Namun, ia juga dikenali sebagai kumpulan yang pro-Anwar memandangkan penubuhannya berlaku selepas pemecatan bekas timbalan perdana menteri itu.

Difahamkan, anggota-anggota Otai Reformis kini terdiri daripada ahli-ahli parti politik seperti PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Pada Selasa, 1 Januari 2019, ahli majlis tertinggi PKR dan setiausaha agung PH, Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan bahawa penggal pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara tidak pernah dibincangkan di mesyuarat majlis presiden PH.

Saifuddin yang juga Menteri Luar berkata, PH hanya membuat keputusan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 selepas penggal Dr Mahathir tamat.

Sementara itu, Anwar menerusi sebuah terbitan di Facebooknya menjelaskan bahawa Dr Mahathir perlu diberi ruang untuk memimpin negara dalam tempoh masa yang telah dipersetujui.

Sumber: The Star – Bernama

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker