Bisnes & Ekonomi

Tan Sri Vincent Tan Mahu Jual Asetnya, Ada Yang Mahu Beli?

Kembalinya Tan Sri Vincent Tan ke Berjaya Corp Bhd (BCorp) telah memberi sinar cahaya kepada para pelabur BCorp. Setelah lima tahun bersara daripada syarikat yang dibinanya itu, beliau kembali November yang lalu dengan melihat semula strategi perniagaan syarikat itu untuk memperbaiki prospek syarikat tersebut.

Memiliki syarikat “rojak” yang banyak aset tetapi kurang aliran tunai

Para analisis berkata BCorp sedang mengalami kedudukan kewangan yang tidak terlalu memberangsangkan dan konsisten untuk beberapa tahun kebelakangan ini tetapi menurut Tan Sri Vincent Tan, syarikat BCorp merupakan sebuah konglomerat yang memiliki pelbagai aset dari pelbagai jenis perniagaan. Ianya seperti “rojak” yang menyebabkan ramai tidak memahami model perniagaan BCorp.

Beberapa sumber telah mengatakan bahawa Tan sedang bertemu beberapa ahli bank untuk menjual beberapa aset BCorp bagi menstruktur semula empayar perniagaannya yang bernilai RM20.5bil.

Menurut sumber tersebut, BCorp memiliki banyak aset tetapi tidak memiliki begitu banyak aliran tunai (RM1.3bil). Oleh sebab keadaan ini berlaku, ia adalah lebih baik untuk menjual aset yang mereka miliki sebelum perkara lebih teruk berlaku, tulis StarBizWeek.

Malah, menurut mereka lagi, Tan mahu menjual semuanya tetapi pada harga yang sangat premium.  Oleh yang demikian, beliau berdepan dengan kesukaran untuk menjualnya.

Mahu Menjual Aset Pada Harga Yang Premium

Walau bagaimanapun, trek rekod Vincent Tan telah menunjukkan bahawa beliau mampu untuk bertahan sehingga mendapat harga paling sesuai untuk aset miliknya. Ini terjadi semasa beliau menjual sahamnya di Digi.Com Bhd.

Pada tahun 1993, Tan telah menjual sahamnya di Digi di mana pada masa itu ia dikenali sebagai Digi.Swisscom Bhd pada harga yang lumyan iaitu lebih daripada RM1.5bil.

Aset Paling Bernilai Vincent Tan

Antara aset yang paling bernilai yang dimiliki Vincent Tan ialah Berjaya Sports Toto Bhd (BToto) dan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd.

BToto dikatakan merupakan perniagaan wang tunai utama Tan tetapi ia tidak dapat memberi premium yang tinggi kerana operasi industri tersebut berada di dalam industri yang banyak peraturan dan kawalan.

Untuk 7-Eleven, ramai yang ingin membelinya tetapi Vincent Tan merasakan ia bernilai US$1bil – sebuah nilai yang difikirkan terlalu tinggi untuk yang berminat untuk mengambil alih.

Vincent Tan juga bercadang untuk menswastakan 7 -Eleven dan perniagaan hotel dan hartanah miliknya iaitu Berjaya Land Bhd (BLand).

Berjaya Land tidak membawa keuntungan

Menurut Tan Sri, BLand telah dinilaikan di paras lebih rendah daripada sepatutnya dan tidak ramai orang membeli saham syarikat tersebut.

Oleh yang demikian beliau berpendapat jika mengeluarkan mereka daripada senarai saham, kemungkinan ia boleh memberi keuntungan lebih kepada para pemegang saham yang sedia ada.

BLand mempunyai aset yang besar di Sungai Besi iaitu seluas 244.8 ekar tetapi ia tidak boleh dibangunkan. Ini dipercayai merupakan penyebab utama mengapa saham syarikat ini dinilai rendah.

Oleh itu, Vincent Tan mencadangkan BLand untuk diapungkan di Singapore Exchange (SGX) pada tahun 2019.

Mengapa SGX? Ini adalah kerana Bursa Malaysia mempunyai beberapa syarat yang terbatas.

BLand kini memiliki 19 hotel dan resort di dalam portfolionya dengan 10 daripadanya berada di Malaysia dan selebihnya terletak di Filipina, Vietnam, Jepun, Sri Lanka, Seychelles dan United Kingdom.

Tan Sri Vincent Tan juga mempunyai perancangan untuk menjual Four Seasons Hotel & Residences Kyoto (Four Seasons Kyoto) di Jepun dengan jangkaan kadar keuntungan sebanyak RM1.7bil.

Masa hadapan UMobile melalui pandangan Vincent Tan

Beliau bercadang untuk memasukkan syarikat telekomunikasi miliknya, UMobile ke dalam Bursa Malaysia. Vincent Tan memiliki 29.2% saham U Mobile dan saham terbesar di dalam syarikat ini ialah ST Telemedia, sebuah syarikat di bawah Temasek Holdings Pte Ltd milik Singapura dengan saham sebanyak 48.3%.

14.7% saham U Mobile pula dimiliki oleh Sultan Ibrahim dan 7.8% lagi ialah kepunyaan jutawan Tan Sri Surin Upatkoon, menerusi syarikatnya Magnum Bhd.

Apa yang bakal berlaku kepada theSun daily pada tahun 2019 masih menjadi tanda tanya

Berjaya Media Bhd (BMedia) yang merupakan penerbit theSun daily mahu menjadikan perniagaannya itu membawa lebih keuntungan dengan ketidakpastian sama ada mahu mengekalkan theSun di dalam syarikatnya itu atau mengeluarkannya.

Ini adalah kerana Tan melihat situasi pada masa kini, menerbitkan surat khabar berada dalam kesukaran kecuali mereka menukar corak perniagaan BMedia.

Menu baharu untuk penggemar Kenny Rogers Roasters

BFood di bawah Berjaya Corp pula ialah Kenny Rogers Roasters bakal mengalami perubahan dalam menunya untuk menambahkan lagi keuntungan syarikatnya.

Halatuju 2019 Tan Sri Vincent Tan

Menurut Tan Sri, secara keseluruhan, perniagaan Berjaya group adalah stabil walapun harga saham mereka jatuh tetapi ia tidak akan lebih teruk daripada itu.

Walau bagaimanapun kebanyakan daripada perancangan Tan Sri ini hanyalah sekadar pandangan peribadinya dan belum mendapat persetujuan BCorp.

“Kita dalam perniagaan untuk mendapatkan keuntungan bukan kemasyhuran. Ramai orang mahu memilki piala aset. Oleh sebab itu jika ada yang membelinya pada harga yang tepat, kita akan menjualnya,” ujar Tan Sri Vincent Tan.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker