AntarabangsaIsu SemasaPolitik

PM Bangladesh Menang Pilihan Raya, Tetapi Pembangkang Masih Tak Puas Hati Kerana…..

Parti Awami League pimpinan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina telah menang besar dalam pilihan raya umum baru-baru ini, sekali gus memberi mandat kepada Hasina untuk memerintah negara itu bagi penggal yang keempat.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Helal Uddin Ahmed, Awami League serta pakatannya telah mendominasi 288 daripada 300 kerusi di Parlimen, manakala parti pembangkang utama, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang pernah memboikot pilihan raya pada tahun 2014 sebelum ini, hanya memenangi 6 kerusi.

Difahamkan, kerusi minimum yang perlu dimenangi untuk membentuk kerajaan adalah 151.

Dalam pada itu, BNP turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membatalkan keputusan pemilihan itu dan mengadakan pilihan raya semula.

Pemimpin pakatan pembangkang, Kamal Hossain mendakwa bahawa kerajaan pimpinan Hasina telah menggunakan kekerasan terhadap pembangkang.

Terdapat juga dakwaan yang menyatakan bahawa berlaku penipuan undi ketika pilihan raya, dan perkara itu telah mencetuskan pergaduhan di antara penyokong kerajaan dan pembangkang sehingga menyebabkan 17 orang terkorban.

“Kami menuntut pilihan raya semula diadakan di bawah kerajaan yang neutral seawal mungkin.

“Pilihan raya itu telah dimanipulasi sepenuhnya. Ia (keputusan) sepatutnya dibatalkan. Kita telah menghadapi pilihan raya yang buruk sebelum ini, tetapi saya harus kata bahawa pilihan raya kali ini adalah yang terburuk.

“Tiada langsung unsur pilihan raya yang adil dan bebas,” kata Hossain sambil menambah bahawa ejen-ejen mengundi daripada pihak pembangkang turut dilarang untuk berada di pusat-pusat mengundi.

Walaupun pengkritik menyifatkan pemerintahan beliau sebagai “kuku besi”, Hasina turut mendapat pujian daripada pelbagai pihak kerana pemerintahannya telah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di negara miskin Asia Selatan itu.

Berikutan kemenangan terbarunya ini, antara fokus utama Hasina adalah untuk berusaha meningkatkan gaji minimum bagi pekerja-pekerja tempatan di dalam industri pakaian, yang merupakan industri terbesar di dunia selepas China.

Sementara itu, anak lelaki Perdana Menteri, Sajeeb Wazed, menggelar pembangkang sebagai ‘sore losers’ yang hanya membuat dakwaan-dakwaan palsu.

Sumber: Straits Times – Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker