Isu SemasaTempatan

Kerajaan Terengganu Masih Menunggu Royalti Minyak

Kerajaan Negeri Terengganu sedang menunggu bayaran baki royalti minyak bernilai RM250 juta yang masih belum dilangsaikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tahun ini.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan untuk menyemak amaun keseluruhan royalti itu yang sepatutnya dibayar ke negeri berkenaan berdasarkan perjanjian pengagihan yang ditandatangani di antara kedua-dua pihak pada tahun 1974.

Ujar beliau, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bulan Mei lalu, kerajaan persekutuan melakukan tiga pembayaran membabitkan jumlah keseluruhan bernilai RM450 juta yang disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri.

“Kita tidak pasti tentang jumlah sebenar, tetapi berdasarkan anggaran kasar, kerajaan persekutuan masih perlu membayar sekurang-kurangnya RM250 juta lagi kepada kerajaan negeri.

“Dua hari lagi sebelum tahun ini tamat, ia tetap menjadi tanggungjawab perbendaharaan atau Kementerian Kewangan untuk memastikan bahawa baki itu dibayar kepada rakyat Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Namun jelas Ahmad Samsuri, sekiranya kerajaan negeri gagal untuk menuntut baki royalti minyak itu, perbelanjaan Terengganu bagi suku pertama tahun depan masih akan dikekalkan berdasarkan bajet yang dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November.

“Kita akan mempertimbang untuk menyemak bajet itu selepas suku pertama,” tambah beliau.

Sumber: BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button