MalaysiaPolitik

2018 Tahun Bersejarah Untuk Politik Negara

Tahun 2018 mencatatkan sejarah baharu dalam politik negara. Pada 9 Mei, rakyat Malaysia mempertaruhkan harapan dan memilih untuk melakukan perubahan buat kali pertama dengan mengundi pakatan pembangkang, Pakatan Harapan untuk berkhidmat sebagai kerajaan persekutuan.

Gabungan Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PKR, DAP dan Amanah kini memegang 118 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Barisan Nasional, yang sebelum ini berkuasa selama 61 tahun sebelum kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14, kini hanya memegang 37 kerusi.

Banyak parti komponen telah meninggalkan BN semenjak tewas dalam PRU14 dan gabungan itu kini hanya dianggotai oleh tiga ahli teras iaitu Umno, MCA dan MIC.

Malah, Umno kini semakin lumpuh apabila beberapa anggota Parlimen mengumumkan untuk meninggalkan parti Melayu di mana pemimpinnya masih bertatih untuk menjadi pembangkang.

Dua lagi kuasa politik utama muncul apabila keseimbangan kuasa beralih. Yang pertama adalah PAS dengan 18 kerusi parlimen dan yang kedua ialah Gabungan Parti Sarawak, satu pakatan empat parti dengan 19 kerusi Parlimen yang mentadbir negeri.

Dengan mengundi kerajaan baru, rakyat Malaysia juga memilih untuk muka lama dalam politik negara. Tun Dr Mahathir Mohamad, 93, memimpin Malaysia buat kali kedua sebagai Perdana Menteri, memperoleh rekod Guinness sebagai perdana menteri tertua di dunia.

Kenaikan kos sara hidup, rasuah, skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan rasa bahawa Malaysia telah tersasar, mencipta gelombang kuasa rakyat yang menyingkirkan Barisan dari Putrajaya.

Walau bagaimanapun, isu kaum dan agama terus menjadi bayang-bayang di negara ini, sementara hutang nasional yang besar, ketirisan pengurusan kewangan dan skandal rasuah yang diwarisi dari pentadbiran terdahulu telah menjadi penyebab kerajaan Pakatan untuk tidak memenuhi sejumlah manifesto pilihan raya mereka.

Harus diakui, pentadbiran gabungan Pakatan Harapan adalah gabungan yang wujud kerana peluang, bukan gabungan ideal.

Perselisihan di antara parti-parti komponen yang berbeza semakin meluas, diburukkan lagi dengan segelintir menteri baru yang paling tidak berpengalaman. Agenda reformasi nampaknya diabaikan, sementara masalah luaran yang lain dilihat semakin menggugat gabungan itu.

Isu hangat Icerd dan rusuhan Kuil Sri Mariamman bukan hanya ujian untuk Malaysia Baharu, tetapi turut menyerlahkan “perbezaan yang semakin mendalam” dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa.

Keharmonian kaum dan agama yang selalu kita harapkan hanyalah idea romantis yang mungkin tidak lagi menjadi agenda utama pemimpin negara. Rakyat Malaysia perlu menerima satu sama lain dan berfikir dengan lebih terbuka di samping menolak sebarang agenda permusuhan kaum.

PH perlu memfokuskan semula dan menekan agenda reformasi yang dilaungkan kerana ia adalah ‘hadiah’ terbaik yang boleh mereka tawarkan kepada negara, tanpa mengira apa yang akan berlaku kepada gabungan itu.

Ia bukanlah tugas yang mudah, dan gabungan pemerintah perlu membuka pintu kepada rakyat untuk terlibat dan membantu mereka. Pada masa yang sama, pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil juga perlu bersama-sama dan memainkan peranan mereka untuk menjalankan reformasi yang diinginkan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker