AntarabangsaBisnes & Ekonomi

Kenderaan Tesla “Made In China” Pada Tahun 2019?

Syarikat kenderaan elektrik, Tesla Inc yang dimiliki oleh hartawan terkemuka, Elon Musk merancang untuk membuka kilang meganya di China pada separuh kedua tahun 2019.

Difahamkan, China merupakan pasaran kenderaan yang terbesar di dunia dan kilang Tesla itu dikenali sebagai Gigafactory 3.

Memetik laporan Bloomberg, Datuk Bandar Shanghai, Ying Yong telah melawat tapak projek itu di zon pembangunan Lingang yang terletak di tenggara Shanghai, dan beliau turut “menggalakkan” Tesla untuk mempercepatkan pembinaan kilang tersebut.

Gigafactory 3 juga dilaporkan akan menjadi projek pengeluaran pelaburan asing yang terbesar di Shanghai.

Palo Alto, sebuah syarikat yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat (AS) telah memperoleh lebih daripada 200 ekar tanah bagi kilang itu, yang dijangka akan menelan kos beberapa bilion dolar untuk dibina.

Dalam pada itu, kilang Tesla yang pertama dibina di luar negara ini juga akan membantu syarikat itu untuk mengelak risiko-risiko membabitkan import kenderaan, seperti tarif yang tinggi berpunca daripada perang dagang di antara China dan AS.

Selama ini, walaupun China adalah pasaran Tesla yang terbesar selepas AS, kuantiti kenderaan yang dijual di Beijing adalah terhad memandangkan syarikat tersebut perlu bergantung kepada import.

Menurut Tesla, duti 40% yang dikenakan oleh China ke atas kenderaan-kenderaan dari AS telah memberi impak terhadap jualannya.

Tarif yang tinggi juga menyebabkan kenderaan model Tesla terpaksa dijual dengan harga yang lebih mahal dan ini sekali gus menyukarkan lagi syarikat tersebut untuk menyaingi kenderaan elektrik buatan tempatan seperti YD Co.

Pada masa yang sama, pasaran kenderaan di China turut merudum buat pertama kali dalam tempoh sekurang-kurangnya dua dekad kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk menyatakan bahawa pada bulan Oktober lalu bahawa syarikatnya kini sedang berusaha untuk memulakan pengeluaran kenderaan Model 3 di China mulai tahun depan.

Sumber: Bloomberg

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker