AntarabangsaIsu Semasa

“Kau Buat Dulu, Baru Aku Buat”

Minggu lepas, Korea Utara menegaskan bahawa ia tidak akan melucutkan program senjata nuklearnya melainkan Amerika Syarikat (AS) juga mengambil langkah yang serupa.

Kenyataan yang mengejutkan itu dilaporkan berpotensi untuk menjejaskan usaha denuklearisasi dan proses damai yang telah dimulakan pada tahun ini.

Memetik laporan media antarabangsa, Korea Utara berkata demikian susulan bantahannya terhadap keputusan AS yang enggan menarik sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Pyongyang selagi ia tidak melakukan denuklearisasi penuh.

Dalam pada itu, ketegangan ini juga menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti kerajaan Korea Selatan dalam memainkan peranan sebagai ‘orang tengah’ di antara AS dan Korea Utara.

Demi mengekalkan suasana yang positif sepanjang proses dialog, Korea Selatan secara konsisten menyatakan bahawa pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un benar-benar berminat untuk berunding bagi menamatkan program senjatanya itu, namun ia dilihat amat bercanggah dengan pendirian Korea Utara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Korea Utara itu juga dikatakan menjadi bukti kepada pandangan-pandangan pelbagai pihak yang selama ini memang skeptikal dan tidak yakin bahawa Kim “ikhlas” untuk melakukan denuklearisasi penuh.

“Kim tidak akan, secara sukarela, melepaskan senjata yang beliau lihat sebagai jaminan yang kuat untuk keselamatan negaranya berbanding jaminan keselamatan yang ditawarkan oleh AS,” menurut pemerhati-pemerhati skeptik.

Selain daripada itu, kenyataan Pyongyang itu juga secara jelas menunjukkan bahawa Korea Utara menuntut agar AS mengundurkan sepenuhnya atau mengurangkan jumlah tenteranya yang ditempatkan di Korea Selatan.

Kehadiran tentera AS di Seoul dikatakan menjadi antara halangan utama dalam melakasanakan sebarang bentuk perjanjian pelucutan senjata.

Sumber: AP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker