AntarabangsaIsu Semasa

China Tidak Akan Tunduk Kepada Mana-Mana Negara

Sempena ulang tahun ke-40 dasar reformasi Parti Komunis, Presiden China, Xi Jinping memberi amaran bahawa tiada sesiapa pun yang boleh “mengarahkan” atau menentukan haluan pembangunan ekonomi negaranya.

Dalam sebuah ucapan baru-baru ini, Xi berikrar untuk meneruskan agenda pembaharuan ekonomi, sambil menegaskan bahawa Beijing tidak akan beralih daripada sistem satu partinya atau mengambil arahan daripada mana-mana negara lain di dunia.

“Kepimpinan Parti Komunis adalah elemen sosialisme yang paling penting dengan ciri-ciri China dan kelebihan yang terbesar dalam sistem sosialis dengan ciri-ciri China,” katanya.

Difahamkan, reformasi ini diperkenalkan di bawah pemerintahan bekas pemimpin China, Deng Xiaoping pada 18 Disember 1978.

Dalam pada itu Xi berkata, China “tidak mendatangkan ancaman” kepada mana-mana negara, namun bertegas bahawa negaranya juga tidak boleh diperkotak-katikkan.

“Tiada sesiapa yang berhak untuk mengarahkan rakyat China tentang apa yang perlu dilakukan atau tidak patut dilakukan.

“Kita harus mengubah apa yang perlu dan boleh diubah, (tetapi) kita tidak patut mengubah apa yang tidak patut dan tidak boleh diubah,” tegasnya.

Walaupun beliau berjanji untuk melakukan pelbagai pembaharuan, namun Xi tidak menyatakan secara terperinci tentang pembaharuan apa yang akan dilaksanakannya.

Difahamkan juga, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah telah lama mengadu tentang halangan-halangan yang dihadapi untuk memasuki pasaran China yang luas secara penuh, sementara syarikat-syarikat Beijing menikmati manfaat ekonomi terbuka Barat.

Reformasi ekonomi China juga dilaporkan berjaya membebaskan jutaan rakyat daripada kemiskinan dan sekali gus menjadikan China sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia.

Walau bagaiamanpun, reformasi itu tidak membawa sebarang perubahan kepada sistem politik yang dikawal secara mutlak oleh Parti Komunis.

“Reformasi membolehkan Parti Komunis mengekalkan kediktatorannya dan peraturannya daripada ‘musnah’ selepas Perang Dingin.

“Saya rasa China pada masa ini adalah negara kapitalis di bawah kediktatoran satu parti, atau parti yang melaksanakan kapitalisme,” kata penganalisis politik, Wu Qiang.

Sumber: AFP

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close