AntarabangsaIsu Semasa

Padah Menanti Pengganas Di Pakistan Pada Bulan Mac 2019

Pada bulan Mac 2019, kerajaan Pakistan akan melancarkan operasi anti-keganasan secara menyeluruh dalam usaha membanteras terorisme di seluruh negara.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Syehryar Khan Afridi, operasi ini diberi gelaran “National Action Plan”, dan ia akan menjadi pelengkap kepada kempen anti-keganasan negara yang sedia ada.

Memetik laporan Reuters, rancangan untuk melaksanakan operasi tersebut diumumkan pada Rabu baru-baru ini berikutan pembunuhan bekas Ahli Parlimen (MP), Syed Ali Raza Abidi, yang ditembak mati oleh penyerang yang tidak diketahui di luar rumahnya di Karachi.

Pembunuhan Syed Ali juga merupakan serangan pengganas yang keempat di sana sejak beberapa bulan yang lalu, dan ia sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai keberkesanan usaha negara itu dalam menentang keganasan.

Dalam pada itu, Afridi berkata, kepimpinan tentera dan politik, serta agensi-agensi keselamatan utama akan bekerjasama dengan lebih rapat demi meningkatkan keselamatan negara.

Bukan itu sahaja, malah Islamabad juga akan menghidupkan semula National Counter Terrorism Authority, yang ditubuhkan untuk mengumpul perisikan dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk membanteras terorisme.

“Kita akan bekerja keras untuk menghapuskan gejala ini di dalam negara menerusi usaha bersama semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan wilayah dan pusat.

“Mereka yang mahu menggugat kestabilan negara akan dikenal pasti tidak lama lagi,” tegas Afridi.

Sementara itu, seorang anggota pemisah Pakistan yang dikehendaki pihak berkuasa kerana menyerang konsulat China di Karachi pada bulan lepas dilaporkan telah terbunuh dalam serangan bom berani mati di Afghanistan.

Penyerang dikenali sebagai Aslam Baloch, dan dia dipercayai menjadi salah seorang ketua Balochistan Liberation Army. 

Difahamkan, China merupakan salah satu sekutu rapat Pakistan, di mana ia telah menyumbang berbilion dolar kepada Islamabad sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai sebahagian daripada Koridor Ekonomi China-Pakistan, iaitu sebuah projek yang bertujuan untuk menghubungkan wilayah Xinjiang dengan Pelabuhan Laut Arab di Balochistan.

Sumber: Reuters

Show More

Related Articles

Back to top button