Sukan

Hanya 6 Bulan Berkuda, Remaja Ini Muncul Kedua Terbaik Dunia Kejohanan Memanah Berkuda

Pemanah berkuda memerlukan kemahiran menunggang yang tinggi kerana pemanah perlu melepaskan kedua tangan dari tali dan memegang busur sambil fokus melepaskan anak panah ke sasaran ketika bergerak.

Pemanah berkuda ini sering dikaitkan dengan kaum nomad di padang rumput steppe seperti orang Mongolia.

Sebelum ini Malaysia mempunyai seorang permata dalam bidang sukan ini iaitu Erina Emelina yang pernah menjadi juara Pertandingan Berkuda Kebangsaan 2016.

Namun kini muncul lagi seorang pelapis baharu yang telah muncul naib juara Kejohanan Memanah Berkuda Dunia ke-14 di Korea Selatan.

Lebih membanggakan, pemanah berusia 13 tahun ini hanya mengambil masa enam bulan untuk menguasai kemahiran menunggang kuda dan berbekalkan pengalaman selama tujuh tahun dalam memanah tradisional, beliau berjaya meraih tempat kedua bagi kategori ‘single shot’.

PAKAR Psikologi Klinikal Prof Datuk Dr Mat Saat Baki (dua dari kanan) bersama Presiden Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia (Pertama), Muhamad Akmal Mohamad Dahalan (dua dari kiri) pada sidang media ‘Malaysia Destinasi Sukan Memanah Tradisional 2019’ di Wisma Transtel, Petaling Jaya, hari ini. Turut hadir, Presiden Gabungan Pemanah Selangor (GPS) Said Hawa Mohd Salleh (kiri) dan pemanah tradisional remaja Lee Jin Ming. – Foto BERNAMA

Menceritakan pembabitannya dalam sukan berkenaan, Lee Jin Ming berkata beliau memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Memanah Tradisional anjuran Akademi Memanah Lagenda di Taman Tun Dr Ismail pada awal tahun ini.

Hadiah baucar mengikuti latihan memanah berkuda bernilai RM100 itu mencetuskan minatnya untuk terus berkecimpung dalam bidang sukan berkenaan di bawah bimbingan jurulatih Mohd Nasrul Kamarulzaman di akademi yang berpusat di Kelana Jaya.

Mengakui sukar untuk mengawal kuda sambil melakukan panahan tepat, remaja ini berkata sepanjang latihan itu beliau terjatuh dari kuda lebih lima kali.

“Memang mencabar, namun disebabkan minat saya teruskan. Saya tidak sangka dapat tempat kedua di kejohanan itu kerana ia penampilan pertama saya,” katanya yang berharap dapat menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa pada masa depan.

Anak jati Kuala Lumpur itu tewas kepada pemanah tuan rumah manakala pingat gangsa pula milik pemanah China.

Sementara itu, Mohd Nasrul berkata anak didiknya adalah seorang yang pendiam namun cepat belajar serta tidak mudah berputus asa selain sangat tertumpu dalam latihan.

Menurutnya Lee kini mula berlatih memanah ‘recurve’ dan beliau yakin remaja itu mampu pergi lebih jauh.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pemanah Tradisional Malaysia (Pertama), Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, berkata pihaknya akan menganjurkan Kejohanan Memanah Antarabangsa di Taman Botani, Putrajaya pada Ogos tahun depan.

Sebanyak 15 negara mengesahkan penyertaan bagi acara memanah tradisional itu antaranya Hungary, Mongolia, Korea Selatan, China, Singapura, Thailand, Indonesia, Sepanyol dan Taiwan.

“Pada kejohanan ini kita turut mengadakan demonstrasi acara memanah berkuda kepada pengunjung yang hadir bagi mempromosikan sukan itu kepada umum,” kata Muhamad Akmal kepada BeritaHarian.

 

Sumber Imej Terencana : horsebackarchery.wordpress.com

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker