Isu SemasaTempatan

Penggunaan ‘Daun Hijau’ Ini Boleh Dibenarkan, Tetapi Hanya Jika….

Kementerian Kesihatan hanya akan mempertimbang untuk membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan bahawa ia berkesan dan selamat digunakan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye, ketika diminta untuk mengulas mengenai keputusan Thailand yang telah meluluskan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan dan penyelidikan, dan sama ada adakah Malaysia akan mengambil langkah yang serupa.

Menurut Dr. Lee, syarikat-syarikat perubatan perlu mengemukakan bukti-bukti sewajarnya berhubung penggunaan ganja untuk perubatan sebelum ia boleh didaftarkan.

“Sesetengah syarikat perubatan telah mendaftarnya sebelum ini, namun kemudian menariknya semula.

“Jadi sekiranya terdapat mana-mana syarikat farmasi yang ingin mendaftar marijuana (ganja) sebagai ubat, mereka perlu mengemukakan laporan.

“Laporan itu perlu mengandungi maklumat-maklumat sewajarnya untuk membuktikan beberapa perkara, termasuk sama ada ia selamat dan berkesan apabila digunakan,” katanya.

Tambah beliau lagi, jika terdapat maklumat cukup yang menunjukkan bahawa ganja selamat dan berkesan untuk digunakan bagi keadaan-keadaan tertentu, pihak Kementerian akan boleh membuat pertimbangan mengenai penggunaannya berdasarkan indikasi itu.

Jelas Dr. Lee, selagi syarikat-syarikat farmasi tidak membuat permohonan untuk pendaftaran sedemikian, ganja masih kekal sebagai barang kimia yang dikawal di bawah Akta Racun, dan perbuatan memiliki serta menjualnya pula adalah satu kesalahan seperti yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya.

Ujar beliau, apabila sesebuah syarikat farmasi mahu mendaftarkan ubat-ubatan yang dikawal di bawah Akta Racun, mereka biasanya perlu mendaftarkan jenis dan dos dadah berkenaan.

“Ia (maklumat mengenai dadah itu) mesti terperinci sama ada ia dalam bentuk pil, serbuk atau larutan, dan dosnya perlu ditunjukkan juga. Semua ini perlu dinyatakan dalam permohonan.

“Hanya doktor sahaja yang mempunyai kuasa untuk menpreskripsi ubat-ubat sedemikian berdasarkan maklumat yang telah ditunjukkan,” katanya.

Sumber: The Star

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker