AntarabangsaIsu Semasa

Jepun Mungkin Teruskan Pemburuan Ikan Paus

Jepun akan menarik diri daripada Suruhanjaya Ikan Paus Antarabangsa (IWC), sebuah organisasi antarabangsa yang ditubuhkan untuk mengehadkan pemburuan ikan paus, bagi membolehkan mereka menyambung semula pemburuan spesies itu secara komersial.

Walaupun belum ada pengesahan secara rasmi, keputusan itu dijangka boleh menjejaskan hubungan Jepun dengan komuniti antarabangsa, malah Jepun telah dikritik oleh negara-negara antipemburuan ikan paus seperti Australia.

Kerajaan Jepun dilaporkan menyerahkan keputusan ini kepada penggubal undang-undang Parti Demokrat Liberal pada hari Khamis, 20 Disember. Pemerintah dijangka membenarkan pemburuan kontroversi ini dengan alasan beberapa spesies ikan paus telah terpulihara.

Malah, persediaan untuk memulakan semula pemburuan ikan paus secara komersial di perairan berhampiran Jepun dan zon ekonomi eksklusif telah pun dilaporkan bermula.

Rancangan ini telah dilaporkan oleh Kyodo News, yang mendakwa keputusan terbabit akan dapat diumumkan seawal minggu ini.

Negara antipemburuan ikan paus telah menyekat cadangan terdahulu Jepun untuk menyambung semula pemburuan ikan paus komersial, dengan IWC menolak usul tersebut pada mesyuarat di Brazil pada September 2018.

Penolakan ini mendorong Tokyo untuk memberi amaran bahawa mereka akan meninggalkan IWC. Beberapa penggubal undang-undang mengatakan Jepun tidak dapat meneruskan pemburuan ikan paus secara komersial jika masih menjadi ahli organisasi itu.

Related image

IWC ditubuhkan pada tahun 1948 dengan tujuan untuk memelihara ikan paus dan memastikan ‘pemburuan ikan paus dijalankan dengan teratur’.

Pada tahun 1982, IWC memperkenalkan moratorium mengenai ikan paus komersial. Jepun menjadi ahli IWC pada tahun 1951 dan menghentikan pemburuan paus komersial pada tahun 1988.

Pada tahun 1987, Jepun mula memburu paus untuk tujuan penyelidikan dan mengkaji sumber ikan paus. Ia bagaimanapun menerima kritikan daripada orang-orang yang percaya ini hanyalah perlindungan untuk kegiatan pemburuan ikan paus komersial.

Ekspedisi ikan paus oleh Jepun di perairan Antartika dan Pasifik membunuh ratusan paus setiap tahun. Jepun bagaimanapun tidak dapat meneruskan penyelidikan ikan paus di Lautan Antartika jika mereka meninggalkan IWC.

Untuk meninggalkan Suruhanjaya Ikan Paus Antarabangsa (IWC) pada tahun 2019, Jepun perlu memberi notis kepada suruhanjaya itu pada 1 Januari. Keputusan pengeluaran akan berkuatkuasa selepas 30 Jun 2019.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker