Isu SemasaPolitikTempatan

BERSATU Ambil Langkah “Berhati-Hati” Ke Sabah

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menyatakan bahawa partinya akan mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan untuk melebarkan sayap ke Sabah.

Bukan itu sahaja, malah tegas beliau, BERSATU tidak akan masuk ke negeri itu semata-mata untuk meraih lebih banyak kerusi.

“Sekiranya semua (rakyat Sabah yang mahu menyertai Bersatu) boleh menyertai Warisan (Parti Warisan Sabah), ia akan menjadi lebih mudah.

“Tetapi sekiranya mereka mahu sertai Bersatu, kita akan runding dengan Warisan terlebih dahulu sebelum menubuhkan cawangan kami di sana,” katanya.

Jelas Muhyiddin, perkara yang menjadi keutamaan adalah untuk memastikan kerajaan negeri pimpinan Warisan diperkukuhkan lagi.

“Rakyat Sabah tidak sabar menunggu kami untuk masuk (ke Sabah). Saya telah bertemu dengan Datuk Seri Shafie Apdal (presiden Warisan) kerana kami telah berjanji (ketika PRU yang lepas) untuk tidak mengembangkan sayap ke Sabah.

“Kita mahu Warisan untuk menjadi tempat penaung rakyat Sabah. Strategi kita betul, sebab itu mereka menang kerana kita tidak bertembung dan ada kerjasama.

“Kalau sekarang ada tuntutan baru daripada orang ramai untuk kita tubuhkan Bersatu di sana, kita perlu berhati-hati,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai permintaan 2,000 rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia yang telah menghantar borang untuk menjadi ahli Bersatu di Shah Alam baru-baru ini.

Namun menurut Muhyiddin, Bersatu tidak akan membuka bahagian di Sabah tanpa persefahaman Warisan memandangkan ini boleh menyebabkan pertembungan dan perpecahan undi dalam pilihan raya.

“Kita perlu memastikan tiada pertembungan dengan Warisan. Kita akan kalah kalau berlaku perpecahan undi. Ini adalah isu strategi yang kita perlu selesaikan,” kata beliau.

Sumber: The Star, Sinar Harian

Show More

Related Articles

Back to top button