AntarabangsaIsu Semasa

Tentera Myanmar Gantung “Semua Operasi Ketenteraan” Terhadap Pemberontak

Tentera Myanmar telah menghentikan “semua operasi ketenteraan” terhadap kumpulan etnik bersenjata di wilayah bergolak utara dan timur negara itu selama tempoh empat bulan.

Menurut pihak pemerhati, langkah tersebut tidak pernah dilaksanakan sebelum ini, dan ia mungkin boleh “memujuk” kumpulan pemberontak untuk melakukan rundingan damai.

Difahamkan, konflik di kawasan-kawasan sempadan telah mula menjadi buruk sejak kemerdekaan Myanmar daripada jajahan Britain 70 tahun lalu, di mana pelbagai kumpulan bersenjata berjuang untuk mendapatkan autonomi, identiti, sumber, dan juga kuasa ke atas wilayah-wilayah yang ada.

Walau bagaimanapun, konflik ini ternyata memberi kesan buruk kepada puluhan ribu penduduk yang menetap di kawasan-kawasan berkenaan memandangkan mereka terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka.

Setakat ini, 10 kumpulan pemberontak etnik telah bersetuju untuk terlibat dalam proses damai yang diketuai oleh penasihat negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, namun masih ada pelbagai kumpulan yang enggan terlibat dalam proses itu.

Mereka menuntut agar tentera meletakkan senjata terlebih dahulu, namun tentera juga tidak mahu berbuat demikian.

Tetapi pada Jumaat lepas, pejabat komander tentera telah mengumumkan di laman sesawangnya bahawa tentera akan menguatkuasakan gencatan senjata di wilayah utara dan timur itu.

Dalam tersebut, tentera menyatakan bahawa gencatan senjata unilateral (sebelah pihak) ini akan berkuatkuasa sehingga 30 April 2019 “bagi membolehkan rundingan diadakan”, sambil menambah bahawa tentera juga “berhak untuk bertempur semula, jika perlu.”

Sementara itu, pengumuman gencatan senjata berkenaan mendapat sambutan yang baik oleh Taaung National Liberation Army (TNLA), iaitu salah satu kumpulan etnik bersenjata terbesar yang menentang tentera di timur laut Myanmar.

“Kami melihat ini sebagai satu langkah positif oleh Myanmar Tatmadaw (angkatan tentera). Tetapi, ia adalah lebih baik jika mereka mengumumkan gencatan senjata bagi seluruh negara,” kata setiausaha agung TNLA, Tar Phone Kyaw.

Sumber: Straits Times – AFP

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker