Isu SemasaTempatan

Mekanisme Baru Pembayaran Semula PTPTN Akan Dibentang 6 Bulan Lagi

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan baru-baru ini mengatakan bahawa mekanisme baru pembayaran semula pinjaman itu dijangka akan mengambil masa 6 bulan untuk disediakan sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet bagi mendapat kelulusan.

Beliau berkata, PTPTN secara aktif mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk pemimpin-pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan (NGO), serta pihak berkepentingan yang lain untuk mendapatkan maklumat dan input sebelum draf tersebut dibentangkan.

Ujar Wan Saiful, langkah ini adalah untuk memastikan pelaksanaan mekanisme baru ini adalah adil, tidak menimbulkan polemik, dan mengambil kira semua aspek kebajikan para peminjam.

“Kajian pelaksanaan skim baru ini sedang dijalankan dan saya telah pergi ke Kedah, Perlis, Perak dan hari ini di Terengganu untuk berjumpa dengan semua pihak berkepentingan di peringkat akar umbi untuk mendapatkan maklumat.

“Kami akan mendengar semua pandangan dan skim dan aspek penambahbaikan (skim pembayaran semula) yang bakal dilaksanakan nanti bergantung kepada input yang kita terima,” katanya di sebuah sidang media selepas Program Penyampaian Bantuan Persekolahan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kepada 1,000 pelajar sekolah Terengganu dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada Sabtu, 22 Disember.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut memberi jaminan bahawa pandangan dan cadangan daripada semua orang akan dipertimbangkan serta dianalisis untuk mencari kaedah pembayaran semula yang terbaik.

“Sebelum ini, kami terpaksa hantar cadangan penambahbaikan dalam tempoh 100 hari untuk mengejar janji yang telah dilakukan dalam manifesto (PRU14), dan disebabkan kekangan masa dan kelemahan dalam skim pembayaran semula yang cuba dilaksanakan pada 5 Disember lalu, ia ditangguhkan oleh kerajaan berikutan bantahan daripada rakyat.

“Jadi selepas ini, kami akan memastikan bahawa semua pandangan diambil kira dan akan membuat beberapa senario untuk melihat kesannya sebelum ia dibentangkan (kepada Kabinet),” kata beliau.

 

 

Sumber: The Sun Daily – Bernama

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker