AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Tidak Mampu Selesaikan Masalah Ini Berseorangan, Trump Minta Bantuan PM Pakistan

Awal bulan ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilaporkan telah meminta bantuan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan secara rasmi menerusi sepucuk surat untuk mengadakan rundingan damai dengan Taliban dalam usaha menamatkan konflik yang telah berlangsung selama 17 tahun di Afghanistan.

Ini juga merupakan komunikasi secara langsung di antara pemimpin Washington dan Islamabad sejak Imran dilantik menjadi Perdana Menteri pada bulan Ogos.

Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan berkata, Trump, menerusi surat itu, turut menekankan bahawa AS dan Pakistan perlu menerokai peluang untuk bekerjasama serta memperbaharui hubungan di antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Imran menyatakan bahawa Trump telah memintanya untuk memainkan peranan penting dalam proses damai Afghanistan demi mengakhiri konflik berkenaan.

Sejak bulan Oktober tahun ini, Pakistan telah membebaskan beberapa orang pemimpin Taliban yang berada di dalam tahanan, sebahagian daripada langkah AS untuk menghidupkan semula rundingan damai dengan puak pemberontak itu.

Ujar Imran, kerajaan pimpinannya akan memainkan apa sahaja peranan yang termampu dan berusaha sebaik mungkin untuk membawa Taliban di meja rundingan bersama AS sekali gus dapat mencapai keamanan di Afghanistan.

“Memandangkan Pakistan sentiasa menggalakkan penyelesaian politik untuk menamatkan peperangan di Afghanistan, keputusan AS ini dialu-alukan.

“Pakistan mengulangi komitmennya untuk memainkan peranan sebagai fasilitator dengan niat yang baik. Keamanan dan kestabilan Afghanistan kekal sebagai tanggungjawab bersama,” kata Imran.

Difahamkan, hubungan di antara AS-Pakistan mula menjadi keruh pada tahun 2011 dan bertambah tegang pada Januari tahun ini apabila Trump menarik bantuan keselamatannya ke atas Islamabad.

Presiden AS tersebut menuduh Pakistan melindungi kumpulan-kumpulan militan Afghan di kawasan kesukuan yang bersempadan dengan Afghanistan.

Bukan itu sahaja, malah Trump juga mengeluarkan kenyataan berkontroversi dengan mengatakan bahawa “Pakistan tidak pernah melakukan apa-apa” untuk AS walaupun sudah menerima bantuan bernilai berbilion dolar.

Membalas kenyataan itu, Imran mendakwa bahawa AS menjadikan Pakistan sebagai ‘kambing hitam’ berikutan kegagalan kuasa Barat itu di Afghanistan.

Sumber: Times Of India 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close