AntarabangsaIsu Semasa

“Saya Telah ‘Jual’ Anak-Anak Saya Kepada Militan IS”

Seorang lelaki di Filipina yang dikenali sebagai Faisal meluahkan penyesalan yang tidak terhingga kerana telah ‘menjual’ dua orang anaknya kepada kumpulan militan IS.

Walau bagaimanapun, ia bukan niatnya untuk berbuat demikian, memandangkan Faisal sebenarnya ditipu hidup-hidup oleh kumpulan terbabit.

Pada bulan Mac 2017, dua orang lelaki yang tidak dikenali telah mendekati anak-anak lelakinya, Kaheel, 10, dan Abdullah, (16) di sekolah mereka di Piagapo, sebuah bandar di Lanao del Sur, iaitu salah satu wilayah majoriti populasi Muslim yang terletak di kepulauan Mindanao, selatan Filipina.

Dua lelaki berkenaan menawarkan ‘peluang’ kepada Kaheel dan Abdullah untuk berpindah ke sekolah berasrama di Bandar Marawi, kira-kira 20 kilometer dari tempat tinggal mereka.

Faisal berkata, kedua-dua lelaki itu menyatakan bahawa anak-anaknya akan belajar Bahasa Arab dan ilmu pertahanan diri.

Bukan itu sahaja, malah Faisal turut diberi wang tunai bernilai 25,000 peso (RM5,408.20) bagi setiap seorang anak yang ‘dilepaskannya’ itu.

Tidak mahu terlepas peluang keemasan ini, Faisal bersetuju untuk menyerahkan anak-anaknya kerana enggan melihat mereka terus hidup dalam kemiskinan dan mahukan masa depan yang lebih cerah buat mereka.

“Apa yang saya tahu pada ketika itu adalah wang tersebut dikirim dari negara lain, sebuah negara Arab,” katanya.

Pada waktu itu juga, Faisal ingatkan bahawa sebuah negara di Timur Tengah sedang membuat pelaburan di Mindanao, yang merupakan salah satu wilayah termiskin di Filipina.

“Kami perlukan wang itu,” tambahnya lagi.

Difahamkan, Faisal bekerja sebagai seorang buruh yang hanya menerima pendapatan harian AS$8 (RM33) dan perlu menyara keluarga yang besar (10 beranak).

Tawaran tersebut juga dilihat seolah-olah doa Faisal untuk masa depan yang lebih cerah sudah termakbul, tetapi ia sukar untuk dipercayai.

KAHEEL DAN ABDULLAH DIPAKSA JADI MILITAN

Selepas dua bulan, mimpi ngeri mula menjadi kenyataan. Lebih daripada seribu anggota militan yang bersumpah taat setia dengan IS telah menakluk Marawi, dan Faisal pula menerima panggilan telefon daripada anaknya, Abdullah.

“Abdullah berkata, apa yang kami sertai rupa-rupanya adalah IS. Mereka akan bunuh kami jika tidak terlibat dalam pertempuran.

Saya memberitahunya untuk mencari jalan melarikan diri,” ujar Faisal.

Apabila Abdullah dan Kaheel dibawa ke Marawi, mereka mendapati bahawa tiada kewujudan sekolah Arab seperti yang dimaklumkan kepada mereka.

“Saya mengesyaki terdapat sesuatu yang tidak kena, kerana saya nampak anggota-anggota IS berpakaian hitam.

“Kita tidak pernah belajar Bahasa Arab. Sebaliknya, mereka menyuruh kami untuk pergi ke Piagapo dan memulakan latihan (untuk pertempuran),” jelas Abdullah.

Di sana, Abdullah dan Kaheel diarahkan untuk melakukan kerja-kerja asas, termasuk mengambil air dan memotong kayu, dan kemudian latihan berperang menggunakan pistol mainan.

“Mereka memberitahu kami bahawa sekiranya pejuang-pejuang barisan pertama terkorban, kami akan menjadi barisan seterusnya untuk berjuang,” kata remaja berusia 16 tahun itu.

‘MISI’ MELARIKAN DIRI

Di atas nasihat Faisal, Abdullah menunggu sehingga semua orang di kemnya tidur. Dia berjaya melarikan diri dengan memberitahu pengawal IS bertugas bahawa dia hendak pergi ke tandas.

Ketika pengawal itu tidak memandangnya, Abdullah melarikan diri menerusi kawasan perhutanan tebal dan akhirnya berjaya mencari jalan pulang ke rumahnya.

Walau bagaimanapun, Abdullah melarikan diri seorang diri tanpa Kaheel, memandangkan adiknya itu dihantar ke kem latihan yang lain.

Kaheel dilaporkan berada di sekitar kawasan pertempuran sebenar di Marawi, dan dia akhirnya berjaya diselamatkan apabila tentera kerajaan melancarkan operasi menyelamat.

KAHEEL TRAUMA DAN KEMUDIAN MENINGGAL DUNIA

Walaupun Kaheel telah selamat dipangkuan keluarganya, dia bukanlah kanak-kanak ceria seperti sebelumnya.

Apabila membawa Kaheel pulang ke rumah, Faisal telah dimarahi dan ditampar oleh isterinya Sarah, yang berang dengan tindakan lelaki itu ‘menjual’ anak-anak mereka.

“Tak guna!, Ini adalah anak kita. Awak menyebabkan dia menyertai IS!”, tengking Sarah kepada Faisal.

Disebabkan kemarahannya, Sarah bersama Kaheel menetap di rumah saudara mereka buat beberapa bulan.

Namun, Faisal memohon maaf dan berjaya memujuk isterinya untuk pulang ke rumah.

Sarah berkata, walaupun dia anaknya sudah pulang secara fizikal, Kaheel bukan lagi kanak-kanak yang ceria dan bercita-cita tinggi seperti yang dikenalinya.

“Kaheel yang diselamatkan ibarat orang lain. Dia selalu duduk di penjuru, menangis. Kemudian dia menjerit ‘Tolong! Tolong! Tolong!,” jelas Sarah.

Selepas beberapa bulan terseksa dari segi emosi, kesihatan Kaheel mula merosot dan akhirnya meninggal dunia.

“Dia terus menangis. Kemudian dia menjadi lemah, tidak mahu makan. Dia menangis kerana peperangan yang dia telah saksikan,” ujar ibunya.

FAISAL MENYESAL

Berikutan kematian anaknya, Faisal kini dihantui dengan penyesalan yang tidak terhingga.

“Apabila saya memikirkannya, hati saya sakit. Sememangnya, saya tidak boleh maafkan diri saya. Seperti yang anda kata, ia ibarat saya menjual anak saya,” katanya.

Dalam pada itu, reputasi Faisal di kawasan kediamannya juga telah tercalar. Jiran-jirannya mengetahui apa yang telah berlaku, dan mereka menuduh dia menyokong militan IS.

 

ABDULLAH MAHU MENJADI ANGGOTA POLIS

Faisal sekeluarga telah berpindah ke lokasi lain bagi memulakan kehidupan baru. Tetapi, Abdullah yang kini berusia 17 tahun, masih marah kepada ayahnya.

“Saya tidak tahu yang dia telah ‘menjual’ saya. Saya ingat saya akan belajar Bahasa Arab,” kata Abdullah.

Untuk menebus kesilapannya, Faisal menghantar Abdullah ke sekolah yang baik untuk mendapat pendidikan yang sewajarnya.

“Saya tidak pernah mengenangnya (insiden tersebut). Sebaliknya, saya memberi tumpuan terhadap pelajaran. Saya mahu menjadi anggota polis untuk menangkap individu-individu yang menganiaya orang lain dan melakukan perbuatan-perbuatan jahat – seperti apa yang berlaku kepada saya,” tegasnya.

Sumber: SCMP

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker