AntarabangsaIsu SemasaPolitik

Lebih 100 Ahli Pembangkang Kemboja Akan Dibenarkan Berpolitik Semula

Parlimen Kemboja telah meminda undang-undang bagi membolehkan ahli-ahli politik pembangkang yang dikenakan sekatan menghantar petisyen kepada kerajaan untuk kembali aktif semula dalam politik.

Menerusi pindaan ini, kerajaan akan menarik sekatan yang telah dikenakan ke atas lebih daripada 100 anggota parti pembangkang utama, Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP).

CNRP juga telah dibubarkan pada tahun lepas atas tuduhan melakukan “pembelotan.”

Tahun lepas, ahli-ahli politik pembangkang terbabit telah diharamkan untuk berpolitik oleh Mahkamah Agung, selepas kerajaan pimpinan Perdana Menteri Hun Sen mendakwa bahawa mereka merancang plot untuk menggulingkan kerajaan dengan bantuan Amerika Syarikat (AS).

Walau bagaimanapun, AS dan CNRP sekeras-kerasnya menafikan dakwaan berkenaan.

Difahamkan, antara sebab utama pindaan undang-undang ini dilaksanakan adalah kerana tekanan yang diberi oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap Kemboja.

EU dilaporkan mengancam untuk menghentikan akses perdagangan bebas cukai yang selama ini dinikmati oleh negara Asia Tenggara itu, susulan tindakan ‘kejam’ kerajaan Kemboja ke atas parti pembangkang.

Kemboja dijangka akan kerugian hampir AS$ 700 juta (RM 2.8 bilion) setiap tahun sekiranya EU menguatkuasakan sekatan tersebut.

Menurut laporan media antarabangsa, kesemua 115 Ahli Parlimen (MP) parti pemerintah, Parti Rakyat Kemboja (CPP) telah menyokong pindaan undang-undang ini.

Pada pilihan raya bulan Julai lalu, CPP berjaya mendominasi semua kerusi yang ada di dalam Parlimen.

Tetapi, seorang MP bernama Cheam Yeap berkata, pindaan undang-undang ini dilaksanakan bukan kerana tekanan antarabangsa.

“Kami menolak pandangan awam yang menyatakan bahawa pindaan ini dilakukan susulan tekanan antarabangsa.

“Sebenarnya, pindaan ini dilakukan atas semangat kebersamaan dan toleransi daripada CPP, yang sentiasa menghormati demokrasi pelbagai parti,” katanya.

Namun begitu, bekas anggota-anggota pembangkang yang telah diharamkan untuk berpolitik hanya boleh kembali melakukan aktiviti mereka, dengan syarat setiap seorang perlu membuat permohonan kepada Perdana Menteri atau Menteri Dalam Negeri.

Sementara itu, timbalan presiden CNRP, Sochua berpandangan bahawa pindaan undang-undang ini adalah cubaan kerajaan memecahbelahkan parti itu.

“Pindaan ini memberi kuasa penuh kepada Hun Sen untuk menentukan siapa yang boleh kembali,” tegasnya.

 

 

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker