Bisnes & Ekonomi

5 Perniagaan Sosial Di Malaysia Yang Bakal Buat Anda Kagum

Melalui bantuan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Yayasan Amanah Belia (myHarapan), ramai usahawan perniagaan sosial telah dibantu dan ditubuhkan.

Dengan hanya bermula sebagai sekadar sebuah idea, myHarapan dan MaGIC telah membimbing dan memberi dana permulaan untuk mereka memulakan impian mereka menjadi usahawan sosial.

Kini dengan adanya program ‘Pemangkin Usahawan Sosial Hebat’ (PUSH), golongan belia dan B40 yang berminat untuk menjadi usahawan, mereka boleh memiliki perniagaan mikrofrancais yang mendapat bimbingan daripada PUSH.

Berikut adalah lima perniagaan yang telah berjaya dengan bantuan myHarapan, MaGIC dan program PUSH.

1. Suri

Setelah terpaksa menutup perniagaan yang berusia 13 tahun dan diceraikan oleh sang suami, Salena Ahmad pulang ke kampung halamannya di Klang bersama dua anak lelakinya dengan hanya berbekalkan duit simpanan.

Dalam keadaan buntu, beliau sentiasa berdoa untuk diberikan peluang kedua. Seperti ditakdirkan Tuhan, beliau mengikuti rakannya menghadiri sebuah bengkel bagaimana menjana pendapatan daripada barangan terbuang.

Melihat potensi yang boleh dilakukan daripada seluar jeans bertukar menjadi beg, beliau mengambil keputusan untuk belajar menjahit. Namun melihat kos untuk belajar menjahit sangatlah tinggi, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk mempelajarinya melalui YouTube selama 3-4 jam sehari untuk 4 bulan dengan mesin jahit yang dibelinya secara bayaran ansuran.

Sumber imej : harianmetro

Apa yang mengagumkan ialah cita-citanya untuk berubah bukan hanya untuk dirinya sendiri tetapi beliau mahu membantu mengubah kehidupan ibu tunggal yang berada di komunitinya di Klang.

Dengan bantuan dana permulaan daripada MaGIC, kini SURI telah membantu 10 ibu tunggal dengan memberi kemahiran, keyakinan diri dan juga kerja dengan pendapatan dari RM700- RM1000.

Selain itu, SURI juga aktif dalam kempen persekitaran sosial dan bekerjasama dengan pelbagai syarikat korporat seperti DHL, Sime Darby Property dan British American Tobacco. Melalui kempen ini SURI mengumpulkan jeans terpakai daripada mereka dan menggunakannya untuk dijadikan beg.

Hasil tangan para ibu tunggal SURI boleh didapati di Petrosains dan laman webnya surilifestyle.com

2. Myfizro (Aiskrim Malaysia)

Sumber Imej : FB myfizro

Bermula sejak tahun 2016, MyFizro yang berkonsepkan nostalgia kenangan lalu yang dikomersilkan secara moden bagi menaikkan semula populariti aiskrim Malaysia, mereka telah menambat hati banyak syarikat dan orang awam untuk membeli aiskrim mereka.

Diasaskan oleh Mohammad Rosli Che Omar yang sebelum ini bekerja dengan syarikat korporat selama 16 tahun, beliau telah memberanikan diri untuk bertukar bidang bagi menjadikan penjualan aiskrim ini sebagai sumber pendapatan utama bukan untuk Myfizro sahaja tetapi untuk sesiapa yang berminat.

Myfizro kini sudah melebarkan sayapnya dari Kuala Lumpur ke luar negeri iaitu Negeri Sembilan, Terangganu dan kini terbaharu di Perak. Mereka telah mengikuti program PUSH yang dijalankan oleh MaGIC serta myHarapan pada tahun 2017 dan berkembang menjadi sebuah perniagaan sosial yang menjadi mikrofrancais.

Usahawan sosial ini memfokuskan kepada dua perkara iaitu pengambilan pekerja di dalam kilangnya yang terletak di Cheras dari kalangan ibu tunggal dan belia B40 serta bantuan untuk usahawan baharu dari kalangan B40 dengan memberi peluang mengambil francais Myfizro.

Salah satu kejayaan Myfizro dalam membantu usahawan baharu dari kalangan B40 ialah dengan bermodalkan RM1000, seorang anak muda di Terengganu yang kehilangan ibubapanya dan terpaksa menyara empat adik-beradik telah menjadi antara stokis dengan penjualan tertinggi di sana.

3. Coffeezone.my

Diasaskan oleh seorang wanita cantik berasal dari Tawau, Sabah. Beliau memulakan kerjaya di kedai emas dan meneruskan pekerjaan sebagai pembantu peribadi kepada beberapa syarikat swasta serta gemar mengikuti pertandingan ratu cantik. Namun begitu, tersemat di hatinya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya satu hari kelak.

Sumber Imej : TheStar

Caroline Fong Abdullah mengorak langkah secara serius sebagai seorang usahawan setelah menyimpan wang gajinya hasil bekerja di sebuah kedai emas di ibu kota. Walau bagaimanapun, kesemua perniagaannya itu tidak berhasil.

Namun melihat potensi menyediakan katering berkonsepkan kopi, beliau berjaya menyediakan katering tersebut dari tahun 2015 sehingga kini.

Memulakan perniagaan dengan modalnya sendiri kemudian mendapat suntikan dana dari MaGIC dan myHarapan, kini Coffeezone.my memiliki kafe dan lori kopi mereka sendiri.

Coffeezone.my mempunyai objektif untuk menghasilkan minuman yang sihat dengan khasiat kopi dan susu segar sebenar dan di sini juga terdapat kopi istimewa yang tidak terdapat di kedai kopi lain iaitu Kopi Ais Tenom dan Kopi Ais Merotai.

Caroline merupakan seorang yang penyabar dengan mengambil pekerja dari golongan kurang upaya, belia bermasalah, ibu tunggal dan mereka yang dari berpendidikan sehingga SPM sahaja.

Antara perubahan yang boleh dilihat ialah salah seorang penerima manfaatnya (benefisiari), Alif yang merupakan seorang pemalu dan tidak boleh berkomunikasi dengan orang lain; Setelah dua tahun bekerja untuknya, dia sudah boleh berkomunikasi dan menolong mana yang patut di Coffeezone.my

Selain daripada itu, terdapat seorang belia bermasalah sering yang cepat berputus asa, dan sentiasa tidak hadir bekerja. Walaupun pada awalnya sukar, tetapi Caroline tidak pernah berputus asa untuk mengambilnya kembali bekerja sehingga belia tersebut berubah menjadi seorang yang bertanggungjawab dan menjadi orang kepercayaan Caroline.

Anda boleh melawat dan merasai kopi istimewa Coffeezone.my ini di aras 4 Bandar Tasik Selatan (BTS).

4. Yuhaso Car Wash & Detailing

Sumber Imej: FB Yuhaso

Memegang prinsip untuk sentiasa mengingati isteri dan anaknya ke mana sahaja beliau pergi kerana yakin bahawa rezekinya dibuka oleh Tuhan kerana keberadaan mereka, Farid Suwardi, pengasas Yuhaso Car Wash & Detailing ini telah berjaya dalam perniagaan cuci keretanya yang didirikan lapan tahun yang lalu.

Aktif bersama program yang dijalankan oleh Yayasan Amanah Belia (myHarapan) pada waktu belianya, beliau telah memberi latihan kepada belia golongan B40 dan memberi peluang pekerjaan kepada mereka di Sebarang Jaya, Pulau Pinang.

Walaupun sudah mempunyai dua cawangan, beliau masih menganggap dirinya masih belum berjaya sepenuhnya kerana ingin Yuhaso lebih berkembang maju dan mengakui baru mempelajari tentang usahawan sosial mikrofrancais melalui program PUSH.

Kini, Farid bakal membuka dua lagi cawangan perniagaannya di tahun 2019 dan beriltizam melahirkan lebih ramai belia yang memiliki teknik untuk menjadi pakar perincian kereta.

5. Joe’s Barber Shop (Langkawi)

Berasal dari Perlis, Johari Salleh mengambil alih perniagaan kedai gunting rambut bapanya di Langkawi dengan konsep baharu sesuai dengan aliran semasa.

Sumber Imej : FB Joe’s Barber Shop Langkawi

Disebabkan nama samarannya ‘Joe’ dan kedai gunting rambutnya sering dikunjungi oleh para pelancong yang mahu rambut mereka dipotong oleh pemilik kedai, Johari Salleh telah mengambil keputusan untuk menamakan kedainya Joe’s Barber Shop bagi memudahkan mereka mengingati kedainya.

Episod permulaan perniagaan sosialnya bermula dengan melihat potensi yang ada pada anak jalanan di Langkawi yang boleh memotong rambut rakan-rakan dah ahli keluarga mereka. Dengan harapan kehidupan mereka akan berubah menjadi lebih baik dengan mendapat pekerjaan.

Johari menambahkan lagi kemahiran mereka untuk lebih profesional di samping memberi pendedahan kepada mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya satu hari nanti.

Mengakui terdapat beberapa pekerjanya yang telah berhenti kerja dan membuka kedai gunting rambut mereka sendiri, kini dengan program PUSH beliau telah mempelajari cara untuk menjadikan perniagaannya menjadi sebuah mikrofrancais yang baik dengan menggunakan jenama Joe’s Barber Shop.

Berniat untuk membantu lebih ramai anak muda supaya boleh berdikari dan membuka cawangan Joe’s Barber Shop dengan bantuan myHarapan dan MaGIC melalui program PUSH, beliau mengalu-alukan kedatangan mereka ke kedainya untuk mempelajari kemahiran perniagaan dan cara menggunting rambut daripada barber yang berpengalaman.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker