Isu SemasaMalaysiaPolitikTempatan

Zahid Hamidi Hanya Serah Tugas, Bukan Letak Jawatan

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masih menjadi presiden Umno walaupun telah mewakilkan tugasnya kepada timbalannya, dan beliau akan kekal sebagai ketua pembangkang parlimen.

Pegawai parti mengatakan Ahmad Zahid masih pemimpin nombor satu Umno dan hanya bercuti daripada menjalankan tugasnya sebagai presiden.

Ahmad Zahid pada hari Selasa berkata beliau akan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya tetapi tidak menyebut berapa lama Datuk Seri Mohamad Hasan akan menggalas tanggungjawab itu.

Persoalannya sekarang ialah berapa lamakah Mohamad Hassan akan bertanggungjawab ke atas parti itu kerana Ahmad Zahid sebenarnya belum meletak jawatan sebagai presiden Umno?

“Perkara itu akan menjadi topik utama dalam mesyuarat majlis tertinggi parti yang akan diadakan hari Jumaat,” kata ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Kami akan membincangkan keputusan Datuk Seri Zahid untuk bercuti, dan apa fokus Umno berikutan keputusan itu,” kata Asyraf Wajdi kepada The Star ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur semalam.

“Datuk Seri Zahid tidak meletakkan jawatan sebagai presiden parti sebaliknya hanya bercuti, yang bermaksud beliau tidak lagi membuat keputusan atau terlibat dalam proses membuat keputusan kepimpinan parti,” kata Asyraf Wajdi, sambil menambah Ahmad Zahid tidak menyatakan berapa lama akan pergi bercuti.

Ahmad Zahid dipilih sebagai presiden Umno pada pilihan raya parti pada bulan Jun. Tetapi penghijrahan wakil rakyat Umno dan ahli parti selepas pilihan raya umum 9 Mei telah meragukan kepimpinannya.

Setiausaha parti Tan Sri Annuar Musa dan ketua maklumat Datuk Shamsul Anuar Nasarah turut mengesahkan bahawa Ahmad Zahid masih kekal sebagai presiden Umno.

Whip Barisan Nasional Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Ahmad Zahid akan kekal sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

“Tiada perubahan pada ketika ini kerana masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Dewan Rakyat hanya akan bersidang semula pada Mac tahun depan.

“Kedudukan ketua pembangkang juga sesuatu yang perlu dibincangkan dengan parti pembangkang lain dan bukan hanya di kalangan Barisan,” kata Ismail Sabri, yang merupakan naib presiden Umno.

Di kalangan pembangkang, Barisan kini mempunyai jumlah paling banyak kerusi iaitu 39 kerusi keseluruhan dengan Umno memegang 37 kerusi, diikuti satu oleh MCA dan MIC.

Parti pembangkang utama yang lain di Dewan Rakyat adalah PAS, yang mempunyai 18 kerusi dari 222 kerusi.

Ismail Sabri berkata keputusan Ahmad Zahid untuk memberi laluan kepada timbalannya adalah sesuatu yang tidak dijangka.

“Zahid tahu ia akan menjadi masalah untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk mengundinya meletak jawatan sebagai presiden.

“Itulah sebabnya beliau berkorban untuk berehat dan membiarkan timbalan presiden mengemudi Umno untuk seketika,” kata Ismail Sabri.

Perkara 9.12 Perlembagaan Umno menyatakan bahawa ahli-ahli majlis tertinggi, termasuk presiden, boleh dipecat dengan sokongan dua pertiga perwakilan di EGM.

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker