AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia Tingkatkan Keselamatan Menjelang Krismas & Tahun Baru

Pada 20 Disember baru-baru ini, polis Indonesia menyatakan bahawa ia telah menahan kira-kira 20 orang suspek militan, dan penahanan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah meningkatkan keselamatan menjelang sambutan perayaan Krismas dan Tahun Baru.

Menurut ketua polis kebangsaan, Tito Karnavian, kesemua suspek tersebut ditahan di bawah undang-undang anti-keganasan baru (pindaan) yang diluluskan pada bulan Mei, selepas insiden serangan bom berani mati yang dilancarkan oleh militan IS meragut nyawa lebih daripada 30 orang di bandar Surabaya.

“(Setakat ini) tiada maklumat mengenai kegiatan-kegiatan keganasan menjelang Krismas dan Tahun Baru, tetapi kami (polis) mengambil langkah-langkah proaktif, termasuk penahanan ini,” kata Karnavian.

Tambah beliau lagi, penahanan kesemua suspek berkenaan dilakukan di pelbagai lokasi di dalam negara.

Di bawah undang-undang baru ini, sesiapa yang disyaki merancang serangan boleh ditahan sehingga 21 hari untuk siasatan awal, dan sehingga 200 hari bagi siasatan secara rasmi.

Indonesia, negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia, telah bertungkus-lumus berjuang untuk mengekang kebangkitan militan serta fenomena ramai rakyat tempatan yang telah pergi ke Timur Tengah bagi menyertai kumpulan IS.

Difahamkan, serangan ke atas gereja-gereja di Jakarta dan lokasi-lokasi lain pada malam Krismas tahun 2002 telah mengorbankan hampir 20 orang mangsa.

Sejak tragedi itu, pihak berkuasa telah mula meningkatkan keselamatan di gereja-gereja serta tempat-tempat pelancongan, terutamanya ketika musim percutian.

Sumber: Reuters

Tags
Show More

Artikel Berkaitan.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker